KUALA LUMPUR, 25 November - Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Dharma Harun Al Rashid, atas pemergian pelakon veteran itu pada pukul 9.10 malam tadi.
Menurutnya, beliau mengingati Allahyarham sebagai seorang yang berkeperibadian lembut, bersahaja serta dihormati ramai.
"Saya berdukacita menerima perkhabaran bahawa seniman Dharma Harun Al Rashid telah kembali ke rahmatullah. Pertemuan saya dengan Allahyarham pada majlis penyampaian sumbangan raya kepada artis veteran di IPPTAR (Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak) awal tahun ini masih segar dalam ingatan.
"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut mendoakan seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan yang tersayang.
Terdahulu, berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh anak keduanya Muhammad Al Syafiq, 36 tahun, menerusi satu hantaran di Instagram.
Pada 2019, Allahyarham pernah diserang angin ahmar yang menjejaskan pertuturan, dan kesan strok serta penyakit lain turut menurunkan daya ingatannya sehingga beliau tidak lagi mampu bekerja.
Pada Februari 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Setiausaha Politik beliau Datuk Ahmad Farhan Fauzi, menyampaikan sumbangan kepada pelakon popular era 1980-an itu untuk membantu urusan hariannya.- BERNAMA