fb fb fb fb fb

Fahmi serah sumbangan kepada keluarga Fiza Kamarudin

Fahmi Fadzil (kiri) dan suami Allahyarham Fiza, Mohd Roshdi Ramli (tiga kiri)

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hadir menziarahi keluarga wartawan hiburan, Allahyarham Siti Nor Hafiza Kamarudin atau Fiza Kamarudin di Ampang hari ini sebagai tanda simpati dan sokongan.

Beliau turut menyerahkan cek sumbangan 'Bantulah Fiza' yang dilancarkan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pada lawatan itu.

Fahmi juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak dalam membantu memudahkan proses membawa pulang jenazah dari London untuk dikebumikan di tanah air.

"Alhamdulillah, semua pihak telah banyak membantu (urusan jenazah) termasuk juga Malaysia Airlines.

"Saya hadir hari ini mewakili rakan-rakan daripada WHAM untuk sampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga (Fiza Kamarudin)," katanya kepada media selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Ampang, sini.

Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata, sumbangan 'Bantulah Fiza' meraih sejumlah RM50,000 yang dikumpul dalam tempoh dua hari daripada kalangan artis, media dan orang ramai.

Sementara itu, suami Allahyarham, Mohd Roshdi Ramli menzahirkan ucapan terima kasih kepada Fahmi dan WHAM serta komuniti Malaysia di London yang banyak membantu urusan jenazah isterinya.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Tuan Fahmi Fadzil dan Datuk Tengku Khalidah. Tidak lupa juga, antara yang penting pihak Hicom di London, warga Education Hall serta komuniti Malaysia di London yang banyak membantu saya.

"Alhamdulillah, ramai membantu saya di London tanpa mereka mungkin perkara-perkara di sini tidak boleh selesai. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih," katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.00 pagi tadi sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru di sini untuk disembahyangkan.

Jenazah kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudathuk Sakinah, Taman Selasih, di sini, tengah hari tadi.

Allahyarhamah Fiza Kamarudin, 40, menghembuskan nafas terakhir pada 28 Disember lalu akibat pendarahan dalam otak di Hospital Charing Cross, London.

ARTIKEL BERKAITAN
Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin meninggal dunia
Fiza Kamarudin meninggal dunia akibat pendarahan otak
Wartawan hiburan, Fiza Kamarudin selamat dikebumikan
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di UK bantu urusan jenazah Fiza Kamarudin - Fahmi

SITI AISHAH BINTI MD ISA