fb fb fb fb fb

Fahmi rakam takziah pemergian Pyan Habib

Fahmi dalam hantaran di laman Facebook menyifatkan seniman yang lebih dikenali sebagai Pyan Habib itu sosok amat disayangi dan disegani dalam industri

KUALA LUMPUR, 4 Jun - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga seniman tanah air, Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, yang menghembuskan nafas terakhirnnya di kediaman beliau di Hulu Kelang, malam ini.

Fahmi dalam hantaran di laman Facebook menyifatkan seniman yang lebih dikenali sebagai Pyan Habib itu sosok amat disayangi dan disegani dalam industri.

"Allahyarham seorang penyajak, penulis, pelakon, dan seniman yang amat disayangi dan disegani.

"Di awal perjalanan saya sebagai seorang penggiat seni, saya sering nantikan persembahan bacaan sajak oleh Allahyarham," tulis Fahmi.

Fahmi turut berkongsi kali terakhir mereka bekerjasama ialah pada tahun lalu ketika melakukan 'cameo' dalam video Malaysia MADANI, nyanyian Bunkface.

"Pemergian Allahyarham akan diratapi para seniman tanah air. Tenanglah dikau di negeri abadi.

"Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. AL-Fatihah," katanya.

Berita pemergian Allahyarham Pyanhabib dikongsikan oleh isterinya, Zurina Zakaria di laman Facebook pada malam Selasa.

Allahyarham berpenampilan menarik berambut panjang terkenal dalam kalangan peminat kesusasteraan serta cara mendeklamasi puisinya yang unik.

Pyan Habib dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan Najihah Mohd Supyan, 31, dan anak lelaki Ahmad Ashmand Farabi Mohd Supyan, 28 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN

GRACE AISYAH KEDAYAN