FOTO AFP
SAKHIR, 20 Mac- Pelumba Ferrari, Charles Leclerc bakal bermula dari petak utama aksi Grand Prix Bahrain pada Ahad manakala juara dunia Max Verstappen terpaksa berpuas hati di tempat kedua dalam aksi kelayakan.
Leclerc 0.123 saat lebih pantas daripada Verstappen dari Red Bull manakala Carlos Sainz akan bermula di tempat ketiga di grid.
“Saya rasa sangat puas, dua tahun kebelakangan ini amat sukar untuk pasukan," kata Leclerc, yang merangkul petak pertama Formula 1 ke-10 dalam kariernya.
"Saya rasa kami telah bekerja dengan sangat baik sebagai satu pasukan, sangat gembira dengan prestasi hari ini. Saya tidak begitu gembira dengan pemanduan saya tetapi berjaya melakukan pusingan itu pada Q3 dan kami bermula dari petak pertama, sangat gembira."
Sementara itu Sergio Perez akan bermula dari petak keempat di hadapan Lewis Hamilton di petak kelima. Juara dunia tujuh kali itu berada jauh 0.680 saat dari rentak dengan jentera Mercedesnya.
Valtteri Bottas menduduki tempat keenam dalam sesi kelayakan pertamanya bersama Alfa Romeo sejak meninggalkan Mercedes pada penghujung musim lalu.
Kevin Magnussen, kembali ke Haas selepas menggantikan pemandu Rusia, Nikita Mazepin, menduduki tempat ketujuh di hadapan Fernando Alonso.
Rakan sepasukan Hamilton baharu di Mercedes, George Russell pula berada di tempat kesembilan terpantas dan Pierre Gasly dari Alpha Tauri melengkapkan 10 teratas.
(Charles Leclerc menerima anugerah untuk kedudukan petak daripada Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa FIA)
FOTO AFP