FOTO AP
BIRMINGHAM, 19 Mac- Hasrat pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan gelaran juara All England tidak kesampaian apabila perjuangannya sekadar berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada pemain meningkat naik dari India Lakshya Sen.
Zii Jia yang turun selaku juara bertahan bagaimanapun tewas di set pertama, 13-21 sebelum bangkit menyamakan kedudukan 21-12 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Aksi sengit dipamerkan kedua-dua pemain yang tampak enggan mudah mengalah, namun Lakhsya nyata liat untuk dijinakkan sekali gus menyaksikan pemain India itu menang 21-19 untuk mengesahkan slot di pentas akhir.
Kekalahan Zii Jia itu menyaksikan kempen skuad negara di All England berakhir apabila tiada lagi wakil negara beraksi di separuh akhir selepas pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah kandas di suku akhir semalam.