fb fb fb fb fb

Filem pendek, buah tangan baharu Ogy Ahmad Daud

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Seniwati hebat tanah air, Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Ahmad Daud muncul dengan filem pendek pertama arahannya sepanjang tempoh 50 tahun berkecimpung dalam dunia seni yang diberi judul Asrar.

Ingin karya seni tempatan diiktiraf serta tidak dipandang sepi, Ogy nekad menghasilkan filem pendek diadaptasi daripada cerpen 'Terima Kasih Tuhanku' karya Baharuddin Kahar terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Menggunakan judul 'Asrar.Secebis Rahsia' ia diterbitkan oleh Syarikat Ogy Ventures & Network Sdn. Bhd dan mendapat sokongan dana mikro daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan telah dicadangkan untuk dipertandingkan di festival antarabangsa.

(Sidang media dan majlis pratonton filem pendek Asrar arahan Ogy)

Lebih menarik, Asrar dibarisi pelakon bakat baharu Ameer Rahman, Zya Nazir, Auf Razak dan Nara Rosli yang digilap dalam bengkel lakonan kelolaan Ogy sekitar Disember tahun lalu,selain turut bekerjasama dengan tenaga produksi yang rata-rata merupakan pelajar bengkel berkenaan.

Filem Asrar boleh ditonton menerusi pembelian khas secara atas talian dalam laman web rasmi Ogy Venture & Network pada harga RM20 untuk langganan tontonan selama seminggu.

Skrip filem berkenaan ditulis oleh bekas wartawan hiburan serta penulis lirik, Slen Fadzil. Asrar merupakan adaptasi daripada karya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) hasil tulisan Baharuddin Kahar berjudul Terima Kasih, Tuhanku.

Bagi lagu runut bunyi filem berkenaan, ia dinyanyikan oleh bekas wartawan hiburan dan personaliti televisyen, Zainal Alam Kadir bertajuk Duniaku.

Duniaku adalah hasil karya Datuk Johari Salleh yang pertama kali dirakam pada tahun 1968 oleh Allahyarham S. Ahmad.

Media Baharu