(Penyanyi rap Maghribi, ElGrande Toto)
RABAT, 27 Oktober- Penyanyi rap Maghribi ElGrande Toto dibebaskan daripada tahanan polis pada Rabu tetapi masih dalam siasatan atas dakwaan "penghinaan, fitnah dan ugutan", kata sumber kehakiman, selepas artis itu membuat kenyataan umum menggunakan ganja.
Rapper kelahiran Casablanca, yang nama sebenarnya Taha Fahssi dan merupakan bintang besar dalam dunia muzik berbahasa Arab, pada akhir September memberitahu pemberita selepas salah satu konsertnya, "Saya menghisap hash, jadi?... Ia tidak bermakna saya menunjukkan contoh yang tidak baik."
Ia mencetuskan kemarahan di Maghribi, di mana penggunaan dadah secara rekreasi adalah haram walaupun negara itu menjadi pengeluar utama dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada Isnin, seorang pendakwa raya Casablanca mengarahkan pemuzik itu ditahan selepas aduan difailkan oleh beberapa artis, seorang wartawan, dan seorang anggota polis.
Tetapi dia dibebaskan pada Rabu selepas artis-artis tersebut menarik balik aduan mereka.
Sumber dalam kalangan penyanyi rap itu bagaimanapun berkata wartawan dan anggota polis itu mengekalkan aduan mereka.
Dia juga membayar denda 20,000 dirham (AS$1,800) dan memohon maaf sekali lagi atas komennya, kata sumber itu, sambil menambah bahawa dia masih dalam siasatan atas dakwaan "penghinaan, fitnah dan ugutan".
ElGrande Toto telah pun meminta maaf pada sidang akhbar yang dihadiri oleh ramai wartawan di Rabat pada Ahad.
Media Maghribi berkata dia masih dalam siasatan untuk siaran media sosial dan kenyataan awam yang mungkin "mengandungi unsur-unsur yang boleh dihukum di sisi undang-undang".
Penyanyi rap itu adalah artis Arab yang paling diminati di Maghreb pada 2021 di Spotify, dengan lebih daripada 50 juta muat turun dicatatkan.
Sementara itu, saluran YouTubenya mengekalkan 2.7 juta pelanggan, menyaksikan barisan video popular yang menarik berpuluh juta tontonan. - AFP
(Penyanyi rap Maghribi, ElGrande Toto)