fb fb fb fb fb

Dua dekad dalam industri, Jaclyn Victor tampil dengan album 'Glorious'

Jaclyn Victor

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Penyanyi terkenal negara Jaclyn Victor, 47 melancarkan album terbarunya berjudul Glorious setelah 20 tahun berada dalam industri seni tanah air.

Lagu-lagu dalam album berkenaan mengambil inspirasi pengalaman hidup penyanyi mempunyai vokal mantap itu selain menggabungkan elemen asal dengan sentuhan segar.

"Selalunya orang akan mudah untuk menangkap melodi atau rentak dalam sesebuah lagu, jadi saya fikir melodi yang dekat kepada peminat akan mudah melekat sebagai halwa pendengar. Jadi itu yang menjadi keutamaan dalam penghasilan karya kali ini.

"Untuk tajuk album, saya merasakan Glorious sangat tepat dengan pemilihan ini. Ia juga merupakan sesuatu yang sangat dekat dengan kesemua lagu yang ingin ditampilkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan album Glorious di ibu negara.

Album yang dirakam dan diterbitkan di New York itu merupakan kerjasama dengan dua rakan baiknya yang menetap kota metropolitan negara Uncle Sam iaitu Gerald Sellan dan Adrian Puan.

Selain itu album berkenaan turut memuatkan sembilan buah lagu termasuk dua lagu berbahasa Inggeris dan selebihnya lagu Melayu.

Lagu ikonik Gemilang yang pernah mengangkat nama Jaclyn Victor dalam industri hiburan tanah air turut dinyanyikan dalam bahasa Inggeris berjudul Glorious menerusi album itu.

"Apapun setiap lagu dalam album ini tidak menghilangkan identiti Jaclyn Victor, sebab semua pendengar masih mahu gaya nyanyian yang dimiliki oleh saya.

"Jadi pada saya walaupun 20 tahun ataupun 30 tahun akan datang, elemen Jaclyn Victor itu akan tetap diselitkan supaya ia masih menjadi identiti tersendiri dan keunikan yang dimiliki oleh saya," katanya lagi.

Dalam pada itu Jaclyn Victor turut mengumumkan Live Intimate Showcase pada 22 dan 23 Februari di ibu negara.

Sebelum ini Jaclyn Victor pernah tampil dengan beberapa buah album iaitu Gemilang (2004), Inilah Jac (2005), Jaclyn Victor III (2009), 3 Suara (2011) dan Ikut Rentakku (2013).

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI