WASHINGTON, Isnin- Roberta Flack, penyanyi pemenang Anugerah Grammy yang terkenal dengan lagu klasik "Killing Me Softly With His Song" dan salah satu suara ikonik paling dikenali era 1970-an, meninggal dunia pada Isnin.
Flack menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun.
Menurut kenyataan daripada jurucakapnya, punca kematian tidak didedahkan, namun Flack sebelum ini didiagnosis dengan penyakit ALS atau Lou Gehrig's disease pada tahun 2022, yang menyebabkan beliau kehilangan keupayaan untuk menyanyi.
"Beliau meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi ahli keluarga," menurut kenyataan tersebut.
Roberta Flack, yang dikenali dengan suaranya yang lembut tetapi penuh keyakinan, memainkan peranan penting dalam memperkenalkan muzik quiet storm, aliran R&B yang halus dan sensual mempengaruhi landskap muzik era berikutnya.
Dilahirkan sebagai Roberta Cleopatra Flack di Black Mountain, North Carolina pada 10 Februari 1937, beliau dibesarkan dalam keluarga yang cintakan muzik gospel di Arlington, Virginia. Kehebatannya bermain piano sejak muda membawanya meraih biasiswa muzik ke Universiti Howard pada usia 15 tahun.
Kerjaya muziknya bermula agak lewat, apabila beliau menandatangani kontrak bersama Atlantic Records pada usia 32 tahun. Namun, popularitinya melonjak apabila lagu "The First Time Ever I Saw Your Face" dimasukkan ke dalam runut bunyi filem "Play Misty for Me" arahan Clint Eastwood pada tahun 1971.
Flack mencipta sejarah apabila memenangi Anugerah Grammy untuk Rekod Terbaik dua tahun berturut-turut pada 1972 menerusi "The First Time Ever I Saw Your Face" dan sekali lagi pada 1973 dengan "Killing Me Softly With His Song".
Lagu "Killing Me Softly" kemudian diberikan nafas baru oleh kumpulan The Fugees pada tahun 1996, membawa lagu ikonik itu kembali mendominasi carta global dan meraih satu lagi Anugerah Grammy.
Selain kejayaan solo, Flack juga dikenali menerusi kerjasama eratnya bersama Donny Hathaway, dengan lagu duet terkenal seperti "Where Is The Love" dan "You've Got a Friend".
Flack bukan sekadar figura muzik beliau juga aktif dalam gerakan hak sivil abad ke-20 dan bersahabat dengan tokoh aktivis seperti Jesse Jackson dan Angela Davis.
"Saya membesar pada waktu di mana perkataan 'Black' dilihat sebagai sesuatu yang negatif. Tetapi akhirnya saya, dan ramai lagi, sedar bahawa menjadi Black adalah perkara paling positif yang boleh kami raikan," katanya dalam satu temu bual.
Beliau dianugerahkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat oleh Recording Academy pada tahun 2020.
Kini, muzik dan warisan Roberta Flack kekal abadi sebagai suara cinta, protes, dan harapan.-AFP