fb fb fb fb fb

Ijmal Cinta Ramadan 2.0 tampil artis malar segar

Zur Eda (paling kiri), Noorshila Amin, Zamani Slam dan Man Bai (paling kanan) pada sidang media Ijmal Cinta Ramadan 2.0

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Ijmal Cinta Ramadan 2.0 bakal diadakan pada 21 Mac depan di ibu negara setelah kejayaan Konsert Ijmal Cinta Ramadan sebelum ini.

Program berkenaan akan menampilkan tujuh nama besar dalam industri seni iaitu Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays dan Zamani Slam.

Penganjurnya, Datin Ismariza berkata, Ijmal Cinta Ramadan 2.0 akan menampilkan persembahan dengan nilai-nilai spiritual sesuai dalam suasana Ramadan.

"Orang ramai yang membeli tiket secara tidak langsung juga turut berpeluang untuk beramal menerusi program ini. Pada sebelah petang akan berlangsung tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum berbuka puasa. Kemudian, kita akan melaksanakan solat Maghrib secara berjemaah.

"Kita juga akan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim yang diraikan. Selepas itu, solat Isyak dan tarawih akan diadakan kemudian diikuti persembahan artis," katanya.

Pada majlis berkenaan insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan turut diraikan.

"Pada acara ini juga, kita turut meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan. Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri," katanya lagi.

Sementara itu menurut Mubarak pemilihan tujuh artis pada majlis tersebut merupakan nama besar dan mempunyai kelompok peminat tersendiri dalam industri seni tanah air.

"Selain mempunyai kelompok peminat yang besar, kesudian mereka untuk terlibat dalam program ini juga sesuatu yang luar biasa.

"Saya percaya peminat setia mereka tidak akan melepaskan peluang hadir ke program tahunan ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI