LOS ANGELES, 2 Mac- Filem muzikal arahan Jacques Audiard, Emilia Perez, mengungguli senarai pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) ke-97 dengan 13 kategori menjadikannya filem paling banyak menerima pencalonan tahun ini.
Bagaimanapun filem Anora dan Conclave kini menjadi pilihan utama untuk merangkul anugerah tertinggi iaitu Filem Terbaik dalam majlis anugerah yang bakal berlangsung di Hollywood pada Ahad ini.
Dalam kategori Pengarah Terbaik, Audiard (Emilia Perez) bakal bersaing dengan Sean Baker (Anora), Brady Corbet (The Brutalist), James Mangold (A Complete Unknown) dan Coralie Fargeat (The Substance).
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, persaingan menyaksikan nama-nama besar seperti Adrien Brody (The Brutalist), Timothee Chalamet (A Complete Unknown), Colman Domingo (Sing Sing), Ralph Fiennes (Conclave) dan Sebastian Stan (The Apprentice).
Sementara itu, Pelakon Wanita Terbaik menyenaraikan Cynthia Erivo (Wicked), Karla Sofia Gascon (Emilia Perez), Mikey Madison (Anora), Demi Moore (The Substance) dan Fernanda Torres (I'm Still Here).
Dalam kategori Filem Antarabangsa Terbaik, Emilia Perez (Perancis) bakal bersaing dengan I'm Still Here (Brazil), The Girl with the Needle (Denmark), The Seed of the Sacred Fig (Jerman) dan Flow (Latvia).
Bagi kategori Filem Animasi Terbaik, pencalonan melibatkan Flow, Inside Out 2, Memoir of a Snail, Wallace and Gromit: Vengeance Most Fowl, serta The Wild Robot.
Antara filem lain yang turut meraih pencalonan tertinggi ialah The Brutalist dan Wicked masing-masing dengan 10 pencalonan, serta A Complete Unknown dan Conclave yang memperoleh lapan pencalonan.
Majlis Anugerah Akademi ke-97 bakal menjadi pentas utama persaingan sengit dalam industri perfileman global dengan keputusan akhir diumumkan pada hari sama.