fb fb fb fb fb

'Di Puncak Dunia' semarak semangat patriotik - BluntSheep

Kumpulan BluntSheep

KUALA LUMPUR, 9 September - BluntSheep tampil melancarkan album mini istimewa berjudul Di Puncak Dunia yang menampilkan empat buah karya asli kumpulan itu.

Kumpulan bawah naungan Padu Records itu menampilkan Di Puncak Dunia, Lelah, Cinta Paling Hebat, dan Hanya Dia menerusi album tersebut.

Di Puncak Dunia mengetengahkan lagu bertemakan patriotisme yang membawa mesej perjuangan, perpaduan, dan aspirasi untuk mengangkat nama Malaysia ke persada dunia.

Menurut vokalis BluntSheep, Rumnan, album dalam lagu berkenaan berkait dengan Malaysia dan mampu meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

"Lagu ini sangat berkait dengan Malaysia. Kami hasilkan lagu ini untuk meningkatkan patriotisme dalam kalangan rakyat. Dengan bakat yang kami ada sebagai sebuah band, kami ingin menyampaikannya melalui lagu Di Puncak Dunia.

"Mesej yang kami ingin sampaikan melalui lagu Di Puncak Dunia ialah supaya rakyat Malaysia dapat melihat bakat-bakat tempatan serta menghargai tokoh-tokoh negara terdahulu. Muzik video lagu ini sudah boleh ditonton di platform YouTube kami. Inilah cara kami menzahirkan rasa cinta kepada negara," katanya.

Mini album tersebut lambang rasa cinta terhadap tanah air selain mahu menyampaikan mesej dalam kebersamaan rakyat Malaysia meski berbeza latar belakang.

Sebagai tanda patriotisme, BluntSheep turut menukar warna gitar kumpulan itu kepada warna Jalur Gemilang untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air melalui muzik.

"Kami berharap nama BluntSheep semakin dikenali. Dengan adanya sokongan media serta acara seperti sidang media ini, lebih ramai orang dapat melihat bakat kami. Mudah-mudahan, ia membuatkan mereka tergerak hati untuk mendengar, menstrim, dan menyokong lagu-lagu kami," katanya lagi.

Lebih membanggakan, pelancaran mini album itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures, inisiatif bawah dasar Kerajaan MADANI yang berperanan merancakkan bakat tempatan serta memperkukuh industri kreatif tanah air.

Sokongan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan karya seni tempatan terus berkembang maju, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peringkat global.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI