KUALA LUMPUR, 9 September - Ratu Dangdut tersohor Indonesia, Inul Daratista, akhirnya kembali memanaskan pentas hiburan tanah air selepas hampir dua dekad tidak mengadakan konsert di Malaysia.
Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara bakal berlangsung di Pulau Pinang pada 6 Disember depan yang turut menampilkan dua bintang dangdut tanah air iaitu Amelina dan Baby Shima.
Menurut Inul, gubahan muzik dangdut yang bakal dipersembahkan pada konsert itu telah disusun dengan baik.
"Ya, sudah ada pengarah muzik yang ditugaskan. Jadi nanti akan ada kolaborasi agar sesuai dengan kehendak peminat-peminat dangdut yang hadir menonton. Insya-Allah, hasilnya akan bagus," katanya.
Beliau turut menambah bahawa setiap persembahan perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
"Kita juga harus menjaga peraturan. Bukan sahaja di Malaysia, bahkan di Indonesia juga sama. Jika joget terlalu berlebihan, ada batasan tertentu yang perlu dipatuhi. Jadi kita harus tahu sejauh mana yang dibenarkan," katanya lagi.
Sementara itu, penyanyi dangdut popular Malaysia, Amelina, meluahkan rasa teruja diberi peluang berkongsi pentas bersama Inul.
"Bagi Kak Long, ini satu penghormatan besar kerana dengan kehadiran Inul untuk konsert julung kali diadakan di Malaysia, ia membuka ruang kepada pejuang-pejuang irama dangdut seperti Kak Long untuk turut beraksi.
"Sebenarnya, muzik dangdut ini sangat unik. Jangan kata ia tidak sesuai untuk digabungkan dengan orkestra, kerana apabila disatukan, barulah terserlah betapa mahalnya nilai irama itu," katanya.
Konsert berskala besar itu mungkin membuka peluang kepada artis dangdut Malaysia untuk melangkah lebih jauh.
"Mungkin dengan adanya konsert besar seperti ini, ia membuka mata banyak pihak. Kalau ada rezeki untuk artis tempatan membuat konsert solo, alhamdulillah. Dan kalau dapat menggabungkan semua artis dangdut Malaysia dalam satu konsert besar, itu juga satu nikmat yang amat disyukuri," katanya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Fajar Baiduri Empire Datuk Hairi Iskandar Datuk Hj Sabiamad pula menyasarkan konsert itu bakal menarik kunjungan lebih 12,000 penonton.
"Konsert yang julung kali dianjurkan oleh Fajar Baiduri Empire turut mendapat sokongan Istana Budaya melalui Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bawah pimpinan Mohd Yazid Zakaria, bersama 18 pemuzik dan 12 penari ArtisTana, Istana Budaya.
"Selain itu, kemunculan Moharm bakal memberikan kelainan dengan gabungan dangdut dan orkestra, terutamanya buat para pencinta muzik dangdut," katanya.
Tiket Konsert Inul Daratista Live In Malaysia: Millennial Dangdut Nusantara mula dijual secara dalam talian bermula pada 9 September pada harga RM78 hingga RM488 mengikut kategori.
.