fb fb fb fb fb

Konsert ikonik 'Malam 3 Suara' himpun tiga bintang Indonesia di Kuala Lumpur

Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito bakal tampil dalam konsert 'Malam 3 Suara' pada 14 Disember 2025

KUALA LUMPUR, 11 September - Kuala Lumpur bakal digegarkan pada 14 Disember ini dengan penganjuran konsert eksklusif ‘Malam 3 Suara’, menampilkan tiga artis ternama Indonesia – Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito.

Konsert yang dijangka menjadi acara muzik ikonik itu bukan sahaja menjanjikan hiburan bertaraf antarabangsa, malah memberi peluang kepada peminat di Malaysia menikmati persembahan lebih intim dan membuai perasaan.

Rizky Febian mengakui teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan bertemu peminatnya di Malaysia.

“Konsert ini adalah peluang berharga untuk saya berkongsi muzik dengan lebih dekat, sekali gus mencipta kenangan indah bersama anda semua,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur, Strategy X Entertainment Sdn. Bhd., menyifatkan konsert ini sebagai sebuah malam istimewa yang menyatukan tiga penyanyi dengan identiti tersendiri.

“Setiap daripada mereka membawa keunikan suara, karakter muzik serta emosi berbeza,” katanya.

Menurutnya lagi, Anggi Marito tampil dengan kelembutan dan ketulusan vokal, Fabio Asher menyerlah dengan balada penuh emosi yang menyentuh jiwa, manakala Rizky Febian memikat dengan pesona serta gaya persembahan penuh warna.

“Apabila tiga elemen ini digabungkan, lahirlah sebuah harmoni indah yang saling melengkapi,” jelasnya.

‘Malam 3 Suara’ juga digarap bukan sekadar konsert, tetapi naratif yang dirangkai melalui muzik.

“Ia membawa penonton menyelami kisah cinta, kerinduan, harapan dan kebersamaan, seolah-olah menemani perjalanan perasaan setiap insan,” tambahnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE