fb fb fb fb fb

Bastianini laung amaran awal, juarai pembuka tirai MotoGP

FOTO AFP

DOHA, 7 Mac- Enea Bastianini muncul juara perlumbaan pembuka tirai MotoGP Qatar awal pagi tadi dan menghadiahkan kemenangan pertamanya dalam kelas utama itu buat bekas bos pasukan, Fausto Gresini yang meninggal dunia tahun lalu kerana COVID-19.

Penunggang Itali itu yang beraksi dalam musim kedua kelas elit, tampil pada kelas tersendiri untuk muncul juara manakala penunggang Afrika Selatan, Brad Binder bersama jentara KTM di tempat kedua sementara Pol Espargaro dari Honda ketiga.

"Saya rasa ia sangat menakjubkan," kata Bastianini juara Moto2 pada 2020 yang kembali menyertai Gresini Racing musim ini selepas memulakan kariernya dalam Moto3.

"Pada penghujung saingan, Pol sangat rapat dengan saya. Saya kemudian merasakan boleh menang perlumbaan, saya memintas Pol pada selekoh pertama apabila dia sedikit terkeluar."

Bastianini memberi penghormatan kepada mendiang Gresini, pengasas pasukan dan juara dunia 125cc berganda pada 1980-an yang meninggal dunia pada usia 60 tahun.

"Saya dedikasikan kemenangan ini kepada Fausto. Dia banyak mendorong saya dan ia hebat untuk semua pasukan. Saya rasa kami semua menangis."

Sementara itu Aleix Espargaro berada di tempat keempat di hadapan juara dunia MotoGP enam kali Honda, Marc Marquez.

Duo Suzuki Joan Mir dan Alex Rins gagal mengulangi kejayaan mereka daripada latihan pada Sabtu, apabila masing-masing masing-masing sekadar di tempat keenam dan ketujuh.

Penyandang juara Fabio Quartararo pula menduduki tempat kesembilan selepas mengharungi hujung minggu yang mencabar dengan Yamaha miliknya.

Quartararo bermula di tempat ke-11 selepas hampir tidak berjaya ke sesi kelayakan terakhir, dan mengalami masalah tekanan tayar.

"Apa yang mengecewakan ialah saya benar-benar memberikan yang terbaik. Saya di sini untuk mendapatkan keputusan yang baik dan saya menduduki tempat kesembilan di trek yang saya menang tahun lalu," kata Quartararo.

"Ia menyakitkan tetapi saya perlu kekal kuat. Perkara yang paling penting adalah untuk ingat bahawa, walau apa pun jawatan, anda memberikan yang terbaik dan hari ini, dengan ikhlas, saya tidak dapat melakukan yang lebih baik. Jadi kita perlu mencari penyelesaian."

Francesco Bagnaia, yang berada di tempat kedua di belakang Quartararo tahun lalu, merempuh Ducati miliknya pada pusingan ke-12 dan menumbangkan Pramac Ducati yang ditunggang Jorge Martin.

Celestino Vietti dari Kalex memenangi perlumbaan Moto2 manakal juara Moto3 milik Andrea Migno.

Seperti kebanyakan badan sukan sejak permulaan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, MotoGP turut memaparkan ayat "Bersatu untuk keamanan" semasa siaran televisyennya.

Beberapa penunggang turut memakai pelekat "Give peace a chance" pada topi keledar mereka.- AFP

 

(Enea Bastianini (tengah) juara, bersama Brad Binder tempat kedua dan Pol Espargaro ketiga) AFP

Media Baharu