(Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria ketika ditemu bual media selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas)
KUALA LUMPUR, 5 Mac - Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal dengan keputusan untuk menghantar atlet muda ke temasya Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.
Demikian ditegaskan oleh Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria dan beliau berharap para pemain muda tersebut akan dapat membawa cabaran negara dengan sebaiknya.
"Kita lihat buat pertama kalinya satu keputusan yang agak berani iaitu bukan sahaja pemain pelapis tetapi pemain remaja juga yang akan diketengahkan di Sukan SEA, saya fikir ia juga satu sejarah baharu dalam BAM dan kita berharap bahawa pemain-pemain yang diberi peluang untuk mewakili negara akan dapat membawa cabaran negara di peringkat Sukan SEA dan seterusnya cuba sedaya upaya untuk mencapai kejayaan," katanya ketika ditemui media selepas majlis menandatangani perjanjian rakan kongsi antara BAM dan Petronas, di sini.
(Barisan pemain muda badminton negara yang akan menggalas cabaran di Sukan SEA Hanoi/BAM)
Tambah Norza, bagi pemain profesional negara, mereka akan diberi tanggungjawab yang lebih besar di Piala Thomas dan Uber yang mana tarikh kejohanan jatuh pada tarikh yang sama dengan Sukan SEA Hanoi.
Cabaran Piala Thomas dan Uber 2022 akan berlangsung pada 8 hingga 15 Mei ini di Bangkok, Thailand.