(Aksi perlawanan Liga Super 2022 antara JDT menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim)
JOHOR BAHRU, 5 Mac - Juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka tirai kempen Liga Super musim ini dengan langkah kanan, selepas meraih tiga mata menewaskan Penang FC,1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, di sini, malam tadi.
Gol kemenangan JDT diraih minit ke-69, menerusi tandukan Bergson da Silva yang menerima hantaran lintang, Arif Aiman Mohd Hanapi.
JDT hampir mendahului permainan minit ke-18 menerusi rembatan Carlos De Murga yang menerima hantaran Fernando Forestieri, namun percubaan itu diselamatkan penjaga gol Penang FC, Khatul Anuar Md Jalil.
Khatul Anuar sekali lagi menyelamatkan gawangnya apabila menepis keluar tendangan Forestieri minit ke-26.
10 minit kemudian, tendangan Bergson pula diselamatkan Khatul Anuar.
(Pemain JDT, Bergson da Silva meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas menanduk masuk gol pada minit ke-69)
Memasuki separuh masa kedua, skuad Harimau Selatan terus mempamer aksi berbisa dan memiliki banyak percubaan berbahaya minit ke-55.
Peluang keemasan Penang FC tiba minit ke-56 namun gagal disempurnakan Abdul Azim Rahim.
JDT hampir menambah jaringan minit ke-90 oleh Muhammad Safawi Rasid namun tendangannya terkena palang.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, biarpun sedikit kecewa namun, tiga mata yang diraih cukup untuk memberi semangat bagi JDT terus mencipta kemenangan perlawanan seterusnya.