fb fb fb fb fb

Derby Lembah Klang: KL City FC, Selangor FC sama kuat

(Pemain KL City FC, Kevin Brandon Xavier Koubemba (kiri) dikekang pemain Selangor FC, Yazan Mousa Mahmoud Abu Al-Arab pada aksi Liga Super, malam tadi/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Selangor FC memulakan kempen Liga Super 2022 dengan keputusan seri 3-3 menentang tuan rumah, KL City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Selangor gagal memanfaatkan kelebihan, selepas KL City terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah pada minit ke-73.

Pertemuan Derby Lembah Klang, cukup menarik kerana Selangor tidak pernah menewaskan KL City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sepanjang kempen tahun 2021.

Hyuri Henrique terlebih dahulu mencetak gol sulung buat Selangor pada minit ke-18 yang menyudahkan sepakan percuma Baha Abdelrahman.

Namun kelebihan berkenaan hanya bertahan 2 minit apabila dipadamkan oleh Zhafri Yahya menerusi rembatan menewaskan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid.

Selangor sekali lagi dihadapan pada minit ke-27, selepas Herlison Caion de Sousa Ferreira dijatuhkan dalam kotak penalti.

Caion berjaya menyempurnakan penalti berkenaan menewaskan penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza.

Namun kegembiran Skuad Red Giant hanya bertahan lima minit selepas Muhammad Hadin Azman menanduk masuk hantaran ketua pasukan, Paulo Josue pada minit ke-32.


(Pemain KL City FC, Muhammad Hadin Azman (jersi nombor 2) meraikan jaringannya pada minit ke-32 aksi pembukaan Liga Super menentang Selangor FC,malam tadi/BERNAMA)

Memasuki babak kedua, kegagalan pertahanan Selangor mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ryan Lambert apabila berjaya meletakkan tuan rumah dihadapan dengan keputusan 3-2.

Situasi perlawanan kedua-dua pasukan menjadi semakin rancak apabila Giancarlo diarah keluar padang selepas mengumpul dua kad kuning pada minit ke-73.

Peluang terhidang ini dimanfaatkan sepenuhnya anak buah Michael Feichtenbeiner yang meningkatkan asakan dan dihadiahkan sepakan penalti lima minit kemudian.

Ini berpunca selepas percubaan Safuwan Baharudin terkena tangan pemain KL City, Muhammad Irfan Zakaria.

Caion tenang menyudahkan sepakan penalti berkenaan untuk mencetak gol kedua peribadinya.

Keputusan 3-3 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan berkenaan menyaksikan KL City FC kebal dihalaman sendiri dengan 15 perlawanan tanpa tewas sejak musim lalu.

Media Baharu