fb fb fb fb fb

Atlet-atlet program MSN tidak ditawarkan kontrak baharu

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Atlet-atlet program Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dipecat, tetapi mereka tidak diberikan tawaran kontrak baharu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, perkara ini merupakan kelaziman dalam proses penilaian serta pengurusan atlet dan ia dilaksanakan bukan sahaja di Malaysia.

Jelasnya, penilaian bagi tawaran kontrak baharu atlet dibuat berdasarkan prestasi semasa atlet menerusi kriteria pemilihan atlet yang ketat dan dibincangkan secara bersama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK).

Malah MSN tidak bertindak sendiri dan mendapat perakuan daripada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

Selain itu, penyusunan semula program persediaan atlet bagi tahun ini dilakukan berikutan suntikan dana untuk Program Podium sebanyak RM240 juta bagi tempoh empat tahun.

(Faizal menjawab pertanyaan wakil Selayang, William Leong Jee Keen
dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat)

"Ini akan menunjukkan peningkatan bilangan atlet daripada 321 atlet kepada 776 atlet iaitu peningkatan sebanyak 142%. Daripada jumlah tersebut, seramai 346 atlet (262 atlet normal dan 84 atlet para) daripada 26 jenis sukan telah menerima tawaran kontrak baharu bagi menjalani program latihan sepenuh masa pada tahun ini,"

Manakala, seramai 430 atlet (235 atlet normal dan 195 atlet para) daripada 26 jenis sukan akan menjalani program latihan secara berfasa. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan adalah program latihan, jurulatih, kemudahan latihan, penginapan dan makan," kata Faizal di sini.

Mengulas mengenai kriteria untuk mengenal pasti atlet yang berpotensi memenangi pingat pula, Faizal memaklumkan antara kriteria yang diguna pakai oleh kementerian ialah prestasi yang dipamerkan oleh atlet sejak tahun 2018, rekod-rekod pencapaian dikejohanan-kejohanan antarabangsa dan temasya-temasya sukan utama, catatan rekod semasa serta kedudukan diPersatuan Sukan Antarabangsa.


Media Baharu