KUALA LUMPUR, 23 Mac - Olahragawan Kebangsaan Anugerah Sukan Negara 2019/2020, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merancang untuk bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
Sekali gus bakal menamatkan era kegemilangannya sebagai pelumba basikal trek.
Olimpik Paris akan menjadi penampilan kelimanya di pentas temasya sukan berprestij berkenaan selepas mengungguli pingat perak dan gangsa acara keirin masing-masing pada dua edisi terakhir Sukan Olimpik.
"Perancangan saya adalah untuk bersara selepas Olimpik Paris 2024 jadi Sukan Komanwel dan Sukan Asia adalah penampilan terakhir saya.
"Justeru saya ingin memberikan sepenuh perhatian untuk memastikan saya beraksi dengan penuh cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita," katanya menerusi klip video selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan.
Sukan Komanwel 2022 akan berlangsung di Birmingham, United Kingdom bermula Julai ini dan Sukan Asia di Hangzhou, China dijadual pada September.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin dengan kemampuan Datuk Azizulhasni untuk mencipta kejayaan pada dua temasya utama tahun ini, Sukan Komanwel dan Asia.
Malah beliau turut meletakkan keyakinan tinggi ke atas semua atlet negara yang bakal beraksi di Sukan SEA Hanoi, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou untuk melakar kejayaan buat negara.
"Saya yakin dengan kemampuan Datuk Azizulhasni dan atlet-atlet kita yang sedang membuat persiapan dalam tiga kejohanan besar yang akan mereka tandingi.
"Jadi saya yakin dengan kebolehan, kesungguhan ditunjukkan oleh Datuk Azizul Hasni dan para atlet kita maka saya yakin apa juga keputusan yang kita akan perolehi ia akan menyemarakkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia dan berbangga dengan semua para atlet kita," katanya.