KUALA LUMPUR, 14 September – “Bagai bulan jatuh ke riba”, itulah tuah yang tidak disangka buat anak jati Sabah, Ryenald Guntabid apabila mencipta kejayaan besar di Anugerah Industri Muzik (AIM) 24 malam tadi.
Semalam juga genap setahun lagu sulungnya, Lumangad Oku Dika dilancarkan, sekali gus menandakan perjalanan seni penyanyi Dusun itu semakin menyerlah.
Ryenald mengejutkan ramai apabila meraih dua anugerah utama iaitu Artis Baharu Terbaik dan Vokal Lelaki Terbaik, menewaskan nama-nama besar industri muzik tempatan.
“Tidak sangka dengan rezeki ini, enam tahun lalu saya hanya menyanyi bersama band kecil di Kota Kinabalu. Dari situ perjalanan saya bermula,” katanya dalam temu bual Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri hari ini.
Anak Dusun itu mula dikenali selepas menyertai pertandingan Sugandoi 2023, yang mana beliau meraih tempat kedua, sekali gus membuka ruang kepada peluang lebih besar selepas ditemui pihak label syarikat rakaman.
Menurutnya, Lumangad Oku Dika bermaksud 'Saya merindukan kamu' dalam bahasa Dusun, namun lirik penuh ditulis dalam bahasa Melayu bagi memudahkan pemahaman orang ramai
“Judul itu saya kekalkan sebagai identiti. Ia menandakan saya seorang Dusun,” ujarnya.
Ditanya mengenai perancangan selepas kejayaan AIM 24, Rey berkata beberapa lagu baharu sudah dirakam dan hanya menunggu masa sesuai untuk dilancarkan bersama muzik video.
Antara idola yang banyak memberi inspirasi kepadanya ialah penyanyi tempatan seperti Hafiz Suip, Amir Jahari dan Aina Abdul, selain artis Indonesia yang menjadi rujukan utamanya.
Lagu Lumangad Oku Dika bukan sahaja menjadi tanda pengenalan Ryenald sebagai artis baharu, malah tular di platform TikTok dengan ribuan video dicipta menggunakan audio tersebut.
Malam anugerah turut mengangkat Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penerima Anugerah Sri Wirama sekali gus mengiktiraf perjalanan seninya lebih 20 tahun yang mewarnai dunia muzik tanah air.
Kategori utama pula menawarkan hadiah lumayan bernilai RM200,000 hasil sokongan Dana Kandungan Kreatif (DKK) Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV).