KUALA LUMPUR, 23 September – Penyanyi, Aisha Retno membuktikan dirinya bukan sekadar bintang yang sedang meningkat naik, tetapi sudah berdiri megah di barisan hadapan menerusi konsert The Aisha Experience yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Penyanyi berusia 25 tahun itu memukau penonton menerusi nyanyian lebih 20 lagu pada konsert berkenaan.
Mengangkat tema rehabilitasi, bangkit lebih kuat, berani dan lantang, The Aisha Experience bukan sekadar konsert, tetapi perjalanan jiwa yang menyentuh hati.
Kolaboratif bersama Aizat Amdan (Menunggu Senja), Megat Fazly (Titik Temu), Lucidrari (Dengari Aku) dan Liza Hanim (Wicked – What Is This Feeling) memeriahkan malam itu; selain menyatukan generasi lama dan baharu di pentas yang sama.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LOL Asia, Rizal Kamal bakat dan dedikasi penyanyi itu menginspirasikan ramai peminat.
“Aisha sememangnya antara bintang paling bersinar di Malaysia. Perjalanannya membuktikan betapa cerahnya masa depan muzik Malaysia," katanya menerusi kenyataan.