KUALA LUMPUR, 23 September – Hampir 5,000 penonton hadir menyaksikan Konsert Intifada Rabbani yang berlangsung di Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Menurut salah seorang ahli anggota Rabbani, Azadan Abdul Aziz, konsert itu dipersembahkan khas buat semua peminat yang telah bersama Rabbani sejak 1997.
"Ayuh kita menyemarakkan selawat dan meraikan cinta Rasulullah SAW dalam sebuah malam yang penuh makna dan penuh mesej kemanusiaan,” katanya di sini.
Lebih 20 buah lagu dipersembahkan menerusi konsert berdurasi dua jam itu, termasuk karya popular Rabbani seperti Intifada, Pergi Tak Kembali, Cari Pasangan, Handzalah dan banyak lagi.
Ia turut dimeriahkan dengan penampilan kumpulan nasyid Brothers, bintang muda Aeydan serta Yabang daripada kumpulan Khalifah.
Konsert itu dihiasi pencahayaan moden, multimedia eksklusif dan susunan muzik baharu yang menampilkan elemen universal untuk dirasai semua lapisan masyarakat.
Antara segmen paling menakjubkan ialah persembahan lagu ikonik Intifada dalam susunan muzik baharu yang menekankan tema perjuangan, kebebasan dan kemanusiaan sejagat.
Paparan visual multimedia pula menyentuh isu Palestin di samping menyampaikan mesej keamanan dan penyatuan manusia sejagat.
Kemuncak malam berkenaan adalah tribute khas buat vokalis utama Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.
Kehadiran Aeydan sebagai generasi pelapis daripada anak-anak anggota Rabbani turut menyuntik aura segar dan melambangkan kesinambungan legasi seni nasyid.