KUALA LUMPUR, 23 September – Showcase “Pistol & Bunga” yang mempertemukan dua ikon rock tanah air, Edrie Hashim dan kumpulan Candy bersama pelajar terpilih Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), berlangsung meriah di Orchestra Hall, ASWARA, baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar persembahan muzik, acara itu menjadi titik permulaan siri jelajah universiti “Pistol & Bunga” di seluruh negara, dengan ASWARA dipilih sebagai lokasi pembuka tirai.
Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat muzik rock ke pentas akademik, malah memupuk minat serta apresiasi terhadap genre tersebut dalam kalangan pelajar seni muda.
Malam bersejarah itu menyaksikan 18 lagu hit dipersembahkan, antaranya Redha, Setia2U, Akan Ku Tunggu dan Wanita Seluruh Dunia yang pernah mewarnai landskap muzik rock tanah air.
Lebih menarik, showcase turut memberi penghargaan kepada legenda rock Malaysia yang membuka laluan buat generasi baharu. Usaha sebegini diyakini mampu membangkitkan semangat pelapis muda untuk terus bereksperimen dalam muzik, di samping memperkukuh jaringan antara fakulti, artis, syarikat produksi dan industri muzik melalui projek akademik, latihan industri serta kolaborasi masa depan.