fb fb fb fb fb

Eira Syazira & Nabila Maharani bergabung dalam single "Bawang Merah"

Eira Syazira (kiri) dan Nabila Maharani (kanan)

KUALA LUMPUR, 23 September -Dua nama besar dari industri hiburan Malaysia dan Indonesia, Eira Syazira dan Nabila Maharani bergabung tenaga dalam single terbaharu berjudul Bawang Merah.

Lagu bergenre pop itu mendapat sentuhan eksklusif daripada Trisuaka selaku pencipta sepenuhnya, manakala susunan muzik pula diolah oleh Ardy Goliath.

Proses rakaman dijalankan di Studio Trisna Music, Jogjakarta, sekali gus menandakan gabungan kreatif pemuzik hebat dari dua negara serumpun.

Video muzik yang turut menjalani penggambaran di Jogjakarta mengetengahkan kisah klasik Bawang Merah Bawang Putih, mengisahkan watak Bawang Putih yang sering diperlakukan tidak adil oleh ibu serta adik tirinya, sebelum kemunculan seorang putera berkuda yang hadir sebagai penyelamat.

Dengan visual sinematik dan naratif penuh emosi, video muzik tersebut dijangka mampu menyentuh hati para penonton dan membawa mereka menyelami semula kisah dongeng rakyat Nusantara yang terkenal itu.

Menurut Eira Syazira, kolaborasi bersama Nabila Maharani bukanlah semata-mata kerana populariti, sebaliknya sebagai usaha memperluas karya seni ke dua negara.

“Kita bukan menunggang populariti. Ini adalah peluang untuk kita berkongsi sesuatu dengan peminat. Di Malaysia, nama Nabila mungkin masih baharu, jadi melalui projek Bawang Merah Bawang Putih ini, insya-Allah ia akan membuka ruang buatnya dikenali, sementara saya pula dapat menambah warna baharu dalam kerjaya seni saya,” kata Eira.

Bagi Nabila Maharani, kolaborasi ini dianggap sebagai satu penghargaan dan bukti bahawa muzik mampu menyatukan dua negara.

“Bisa menjadi kolaborasi antara dua negara itu luar biasa. Bukan sahaja dapat menghiburkan ramai orang di Indonesia dan Malaysia, tetapi juga menampilkan karya yang benar-benar ikhlas untuk peminat,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama itu diyakini akan memberi impak lebih luas di era digital.

“Kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia seperti ini benar-benar boleh menginspirasi banyak orang. Dengan adanya platform media sosial, saya percaya lagu Bawang Merah Bawang Putih akan semakin dikenali dan didengari oleh khalayak yang lebih besar,” jelasnya.

Kolaborasi Bawang Merah bukan sekadar penyatuan suara dua bintang wanita dari Malaysia dan Indonesia, tetapi juga simbolik persahabatan, warisan budaya serumpun, serta jalinan seni yang merentasi sempadan.

TETITIA YUSOFF