KUALA LUMPUR, 22 September - Kumpulan lelaki bawah naungan Rocketfuel Entertainment, ALPHA, terus mencipta fenomena dengan pelancaran single terbaharu mereka, “P Ramlee Saloma”.
Dilancarkan pada 18 Julai 2025, lagu ini bukan sahaja menjadi OST drama popular, malah mengukuhkan kedudukan ALPHA dalam industri muzik tanah air.
Dianggotai Rizal Rasid, Araff, Daniel Sher, Ray-D, Izat Ibrahim, Afiq Sky dan Ariel Fesol, ALPHA ditubuhkan menerusi program realiti Big Stage Alpha.
Selepas kejayaan single sulung mereka “Monalisa (Bang Bang)”, ALPHA membuktikan kemampuan sekali lagi dengan karya baharu yang lebih matang.
“P Ramlee Saloma” dibawakan dalam bentuk balada moden menyentuh jiwa, diinspirasikan daripada kisah cinta abadi dua legenda seni negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.
Rizal Rasid berkata, “Saya sangat bangga kerana dalam tempoh singkat sahaja lagu ini berjaya meraih jutaan strim. Sokongan peminat membuktikan muzik kami diterima, dan itu buat saya benar-benar terharu.”
Dalam tempoh dua bulan selepas pelancaran, lagu ini telah mencatat lebih 22 juta capaian digital merangkumi pelbagai platform. Araff menambah, “Bila nampak lagu ini trending, semangat saya naik berganda. Kami akan terus berusaha hasilkan karya lebih baik dan berharap peminat terus bersama kami.”
Sebagai penghargaan kepada peminat, ALPHA kini melancarkan video muzik rasmi “P Ramlee Saloma”.
Menampilkan visual romantik dengan sentuhan sinematografi moden, MV tersebut memperindah makna lagu sekali gus menjadi simbol kasih sayang kumpulan itu kepada penyokong setia mereka.