
PARIS, 3 April – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran keras berhubung “serangan berulang ke atas sektor kesihatan” di Iran dalam beberapa hari kebelakangan ini susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
- Institut Pasteur Tehran rosak teruk sehingga tidak boleh beroperasi; hospital dan pejabat WHO turut mengalami kerosakan.
- Syarikat farmaseutikal utama Tofigh Daru dan hospital swasta terjejas, mengancam bekalan ubat bius dan rawatan kanser.
- Serangan melanggar perlindungan Konvensyen Geneva; Bulan Sabit Merah lapor 307 fasiliti kesihatan, perubatan, kecemasan rosak.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata sekurang-kurangnya 20 fasiliti kesihatan disahkan menjadi sasaran, termasuk Institut Pasteur di Tehran yang mengalami kerosakan teruk akibat serangan udara sehingga tidak lagi dapat beroperasi.
Institut yang ditubuhkan sejak 1920 itu memainkan peranan penting dalam penyelidikan serta perlindungan kesihatan awam, termasuk ketika situasi kecemasan.
Selain itu, serangan turut menjejaskan syarikat farmaseutikal utama Iran, Tofigh Daru, yang menghasilkan ubat bius dan rawatan kanser, serta Hospital Psikiatri Delaram Sina yang dilaporkan mengalami kerosakan besar.
Hospital swasta Gandhi di barat laut Tehran turut terjejas apabila tingkapnya pecah akibat letupan, manakala pejabat WHO di ibu negara itu juga mengalami kerosakan.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mengancam untuk melancarkan serangan besar ke atas Iran, meskipun undang-undang antarabangsa melarang serangan terhadap infrastruktur awam.
Di bawah Konvensyen Geneva, fasiliti kesihatan dilindungi dan tidak boleh dijadikan sasaran dalam konflik bersenjata.
Menurut Bulan Sabit Merah Iran, sebanyak 307 fasiliti kesihatan, perubatan dan kecemasan telah rosak sepanjang konflik itu.
Konflik memuncak selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu atas dakwaan negara itu sedang mempercepat pembangunan senjata nuklear, namun dakwaan tersebut dinafikan Tehran.-AFP