
KATHMANDU, 5 September- Pasukan penyelamat Nepal pada Sabtu berjaya mengeluarkan seorang pekerja warga China yang masih hidup dari sebuah terowong yang tertimbus akibat runtuhan, sekali gus meningkatkan harapan untuk menemukan lebih ramai mangsa yang hilang selepas bencana banjir besar 10 hari lalu.
- Runtuhan glasier pada 26 Ogos mencetuskan gelombang air dan lumpur, menyebabkan ratusan pekerja hilang.
- Sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik musnah akibat banjir besar.
- Jumlah korban kedua-dua negara 1,375 maut dan lebih 5,500 masih hilang.
- Pakar dari India, China, Australia dan Korea Selatan membantu operasi mencari mangsa.
Pasukan penyelamat terdiri daripada anggota Tentera Nepal dan pakar asing berjaya mengeluarkan lelaki itu dari kedalaman 225 meter di dalam terowong Projek Hidroelektrik Upper Trishuli-1 di daerah Rasuwa, menurut kenyataan tentera.
Lelaki itu dikenal pasti sebagai Luhaitao dan ditemukan dalam keadaan sedar dengan kedua-dua tangannya diliputi lumpur tebal.
“Keadaannya kini sedang dinilai dan operasi mencari serta menyelamat masih diteruskan,” menurut kenyataan itu.
Luhaitao adalah antara ratusan pekerja projek hidroelektrik yang hilang selepas gelombang besar air dan lumpur melanda kawasan sempadan Nepal-China berikutan runtuhan glasier dan batuan berskala besar pada 26 Ogos lalu.
Sehari sebelum itu, dua pekerja hidroelektrik Nepal turut diselamatkan dari terowong Projek Hidroelektrik Trishuli 3A.
Operasi menyelamat pada Jumaat itu disifatkan sebagai “keajaiban” selepas kedua-duanya yang diliputi lumpur berjaya dikeluarkan selepas terperangkap selama sembilan hari.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik musnah akibat banjir berkenaan dan lebih 100 pekerja dipercayai masih hidup.
Pakar dari India, China, Australia dan Korea Selatan turut membantu pasukan penyelamat Nepal dalam operasi mencari mangsa di dalam terowong yang tertimbus.
Dalam pada itu, Agensi pengurusan bencana Nepal melaporkan 1,344 mayat telah ditemukan setakat ini, manakala kira-kira 5,000 orang masih hilang.
Di China, media kerajaan melaporkan 31 orang maut dan 531 lagi hilang — menjadikan jumlah keseluruhan korban di kedua-dua negara kepada 1,375 orang dengan lebih 5,500 masih hilang.
Sementara itu, Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah berjanji akan menyediakan tempat tinggal yang selamat dan selesa kepada ribuan penduduk yang terjejas.
“Kami (kerajaan) tahu tinggal di pusat pemindahan sementara bukan sesuatu yang mudah untuk anda,” katanya dalam hantaran media sosial pada Jumaat.
Beliau berkata kerajaan akan berusaha memulihkan kehidupan penduduk terjejas serta membantu mereka membina semula kehidupan. -AFP