
GENEVA, 9 Julai – Wabak Ebola di Congo kini telah meragut 600 nyawa, menurut angka yang diterbitkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hanya tiga hari selepas jumlah kematian melepasi 500.
- 1,759 kes Ebola direkodkan di Congo sejak wabak diisytihar pada pertengahan Mei.
- Kadar kematian kes di Congo dicatatkan sekitar 34 peratus.
- Wabak berpunca daripada spesies Ebola Bundibugyo yang jarang dan tiada vaksin atau rawatan diluluskan.
- Ujian klinikal MBP134 dan remdesivir dimulakan 2 Julai untuk menilai keberkesanan secara berasingan atau digabungkan.
Data terkini yang dikeluarkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu menunjukkan sebanyak 1,759 kes Ebola telah direkodkan di Congo sejak wabak itu diisytiharkan pada pertengahan Mei, dengan 600 kematian yang disahkan.
Dua lagi kematian dilaporkan di negara jiran, Uganda, manakala 17 daripada keseluruhan 20 pesakit yang disahkan dijangkiti di negara itu telah pulih.
Angka itu menunjukkan kadar kematian kes bagi wabak berkenaan di Congo ialah 34 peratus.
Sebanyak 285 pesakit di negara itu telah pulih, manakala 304 kes yang disyaki menghidap demam berdarah virus berkenaan masih dalam siasatan.
Wabak yang melanda timur laut Congo telah menjejaskan empat wilayah, dengan wilayah Ituri kekal sebagai kawasan yang paling terjejas.
Wabak itu berpunca daripada spesies Ebola Bundibugyo yang jarang ditemui, yang sehingga kini belum mempunyai vaksin atau rawatan yang diluluskan.
Ujian klinikal terhadap dua rawatan berpotensi bagi virus Bundibugyo telah dimulakan di Congo pada 2 Julai.
Ujian itu menilai keberkesanan antibodi monoklonal MBP134 dan ubat antivirus remdesivir, sama ada digunakan secara berasingan atau digabungkan.
Virus Ebola merebak melalui hubungan rapat dan cecair badan individu yang dijangkiti.
Wabak Ebola ke-17 di Congo diisytiharkan pada 15 Mei selepas beberapa kematian dilaporkan di wilayah Ituri yang kaya dengan sumber mineral dan sekian lama bergolak akibat aktiviti kumpulan bersenjata. – AFP