
WASHINGTON, 12 Mei – Emiriah Arab Bersatu (UAE) didakwa melancarkan serangan ke atas Iran pada awal bulan lalu.
- WSJ melaporkan serangan menyasarkan kilang penapisan minyak di Pulau Lavan.
- IRIB melaporkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas UAE dan Kuwait pada pagi 8 April.
- UAE memaklumkan negara itu disasarkan 17 peluru berpandu dan 35 dron selepas gencatan senjata berkuat kuasa.
Dakwaan itu dibuat oleh Wall Street Journal (WSJ) yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
Dalam artikel yang diterbitkan pada Isnin, akhbar Amerika Syarikat (AS) itu melaporkan serangan UAE menyasarkan sebuah kilang penapisan minyak yang terletak di Pulau Lavan, Iran.
Serangan dilancarkan ketika Presiden Donald Trump mengumumkan gencatan senjata dalam perang tersebut selepas kempen serangan udara selama lima minggu.
“AS secara senyap menyambut baik serangan UAE serta mana-mana negara Teluk lain yang mahu menyertai perang berkenaan,” lapor akhbar itu.
Tarikh dan masa serangan tidak dinyatakan.
Bagaimanapun pada pagi 8 April, penyiar rasmi Iran, IRIB melaporkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas UAE dan Kuwait, beberapa jam selepas kemudahan minyak di Pulau Lavan menjadi sasaran.
Pada hari yang sama, beberapa jam selepas gencatan senjata berkuat kuasa, UAE turut memaklumkan negara itu menjadi sasaran 17 peluru berpandu Iran dan 35 dron.
Tentera Kuwait pula menyatakan negara itu berdepan gelombang serangan ke atas loji tenaga, loji penyahgaraman air serta kemudahan minyak.
Menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat, kilang penapisan minyak di Pulau Lavan adalah yang ke-10 terbesar di Iran setakat tahun 2020, dengan kapasiti memproses 60,000 tong minyak mentah sehari. -AFP