
WASHINGTON, 4 Februari – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa menandatangani pakej pembiayaan berskala besar, sekali gus menamatkan penutupan sebahagian operasi kerajaan yang bermula pada Sabtu, lapor Xinhua.
- Trump menandatangani pakej pembiayaan besar yang menamatkan penutupan sebahagian operasi kerajaan.
- Pakej membiayai beberapa agensi persekutuan termasuk pertahanan, pendidikan, kesihatan, buruh, pengangkutan dan perumahan.
- DHS dikeluarkan dari pakej dan diberi resolusi sementara dua minggu untuk rundingan imigresen lanjut.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan majoriti tipis di Dewan Perwakilan pada awal Selasa selepas mendapat kelulusan Senat pada Jumaat.
Pakej terbaharu itu akan membiayai beberapa agensi persekutuan AS bagi baki tahun fiskal semasa yang berakhir pada 30 Sept.
Agensi terbabit termasuk Jabatan Pertahanan, Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia, Jabatan Buruh, Jabatan Pengangkutan serta Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar.
Pembiayaan bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), yang pada asalnya dimasukkan dalam pakej pembiayaan omnibus, telah dikeluarkan.
Sebaliknya, jabatan itu akan menerima resolusi sementara selama dua minggu pada tahap pembiayaan semasa, sekali gus membolehkan kedua-dua parti serta Rumah Putih meneruskan rundingan berkaitan penguatkuasaan imigresen. -BERNAMA-XINHUA