Tragedi Crans-Montana: Hari berkabung di seluruh Switzerland untuk mangsa kebakaran

Orang ramai berkumpul di lokasi tragedi untuk meletakkan pesanan, lilin, dan bunga sebagai tanda penghormatan kepada mangsa/ Foto AFP

CRANS-MONTANA, 10 Januari – Switzerland pada Jumaat mengadakan hari berkabung nasional bagi memperingati 40 mangsa yang terkorban dalam kebakaran di sebuah bar pusat peranginan ski yang dipenuhi pengunjung pada sambutan tahun baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Switzerland mengisytiharkan hari berkabung nasional bagi memperingati 40 mangsa kebakaran di bar Crans-Montana.
  • Pemilik bersama bar, Jacques Moretti, ditahan dan kedua pemilik disiasat atas tuduhan kecuaian menyebabkan kematian.
  • Tiada pemeriksaan keselamatan kebakaran sejak 2019; kebakaran dipercayai berpunca botol champagne dengan bunga api menyentuh buih penebat.

Negara Alpine itu bertafakur selama seminit sebelum loceng gereja dibunyikan di seluruh negara sebagai tanda penghormatan kepada mangsa, yang majoritinya remaja.

Di lokasi tragedi di Le Constellation, sebuah bar di pusat peranginan ski Crans-Montana, orang ramai berkumpul dalam suasana hening ketika salji turun bagi mengenang mereka yang terkorban.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak pendakwaan yang menyiasat kejadian itu menyoal siasat dan menahan Jacques Moretti, pemilik bersama bar berkenaan, selepas mendapati wujud risiko beliau melarikan diri.

“Negara kita musnah dengan tragedi ini,” kata Presiden Switzerland, Guy Parmelin, pada upacara peringatan nasional di Martigny, barat daya Switzerland.

“Kita menghormati memori mereka yang terkorban dan berdiri bersama mereka yang kini berdepan perjalanan panjang untuk pulih,” katanya.

Upacara itu dihadiri kira-kira 1,000 orang, termasuk Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Itali Sergio Mattarella, Perdana Menteri Belgium Bart De Wever dan bekas Grand Duke Luxembourg, Henri.

Kebanyakan mangsa adalah warga Switzerland, namun seramai 19 warganegara asing turut terkorban dan cedera, termasuk sembilan warga Perancis dan enam warga Itali.

Upacara berkenaan disiarkan secara langsung di Pusat Kongres Crans-Montana, dengan kira-kira 1,400 orang hadir menyaksikannya, kebanyakannya dalam keadaan sebak. Kehadiran kira-kira 100 anggota penyelamat disambut dengan tepukan gemuruh sebagai tanda penghargaan.

Kebakaran berlaku kira-kira 1.30 pagi pada hari tahun baharu, dipercayai berpunca apabila botol champagne yang dipasang bunga api diangkat terlalu dekat dengan buih penebat bunyi di siling bahagian bawah tanah bar itu.

Jacques Moretti dan isterinya, Jessica Moretti, yang juga pemilik bar berkenaan, kini disiasat atas pertuduhan membunuh tanpa niat akibat kecuaian, mencederakan akibat kecuaian dan pembakaran akibat kecuaian.

Jacques Moretti ditahan selepas disoal siasat selama enam jam, manakala Jessica dibenarkan pulang dan memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Pihak berkuasa Crans-Montana turut mengakui tiada pemeriksaan keselamatan kebakaran dijalankan di bar itu sejak 2019, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

Sebagai rekod, separuh daripada mangsa yang terkorban berusia bawah 18 tahun, termasuk dua remaja berusia 14 tahun.- AFP