Tiada serangan dilakukan ke atas Lapangan Terbang Kuwait – IRGC

Tangkap layar rakaman pengawasan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kuwait yang menunjukkan sebuah dron merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada Rabu/Reuters

TEHRAN, 4 Jun- Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menafikan bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada Rabu yang mengorbankan seorang warga India dan mencederakan 63 orang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan IRGC mendapati Tentera Udara mereka tidak melepaskan sebarang tembakan ke arah lapangan terbang.
  • Kenyataan rasmi disiarkan menerusi saluran Telegram IRGC, menegaskan tiada tembakan dilepaskan ke atas terminal penumpang.
  • IRGC mendakwa kerosakan disebabkan kesilapan sistem Patriot Amerika Syarikat yang jatuh ke atas bangunan.
  • IRGC kata sasaran sebenar Pangkalan Udara Ali Al Salem; operasi lapangan terbang dihentikan sementara kemudian disambung semula.

Jurucakapnya, Hossein Mohebi berkata siasatan pihaknya mendapati tiada sebarang tembakan dilepaskan oleh Tentera Udara IRGC ke arah lapangan terbang berkenaan.

“Siasatan dan semakan kami terhadap serangan di terminal penumpang Kuwait menunjukkan bahawa Tentera Udara IRGC tidak melepaskan sebarang tembakan ke atas sasaran itu” katanya menerusi saluran Telegram rasmi IRGC pada Khamis.

Beliau mendakwa kemusnahan di terminal penumpang itu berpunca daripada “kesilapan sistem Patriot Amerika Syarikat” yang jatuh ke atas bangunan terbabit selepas gagal memintas peluru berpandu Iran.

IRGC sebelum ini mendakwa ia menyasarkan lokasi berbeza iaitu Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait yang menempatkan helikopter milik Amerika Syarikat.

Serangan tersebut menyebabkan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dihentikan sementara sebelum disambung semula pada hari sama, dengan semua penerbangan Kuwait Airways kembali beroperasi. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.