
WEST PALM BEACH, 2 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Tentera Laut AS bertindak “seperti lanun” dalam melaksanakan sekatan terhadap kapal-kapal Iran susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.
- Trump menegaskan Washington tidak akan benarkan Iran miliki senjata nuklear; mereka khuatir ia akan digunakan terhadap Israel dan rantau lain.
- Rundingan dengan Iran sukar kerana kepimpinan tidak jelas, kata Trump.
- Konflik mencetuskan gangguan di Selat Hormuz, menjejaskan bekalan tenaga global dan menaikkan harga minyak.
Berucap pada majlis Forum Club of the Palm Beaches di West Palm Beach, Florida, Trump menggambarkan operasi ketenteraan AS sebagai agresif dalam menahan dan merampas kapal yang dikaitkan dengan Iran.
“Ia seperti ‘tembok besi’. Tentera kami sangat kuat. Mereka arahkan kapal berpatah balik, dan apabila tidak dipatuhi, satu tembakan dilepaskan ke bilik enjin sehingga kapal itu berhenti. Kami ambil alih kapal dan kargonya… kami seperti lanun,” katanya.
Dalam masa sama, Trump menegaskan pendirian tegas Washington terhadap Iran, khususnya berkaitan isu senjata nuklear.
“Dunia tidak boleh benarkan Iran memiliki senjata nuklear. Mereka akan menggunakannya terhadap Israel dengan cepat, dan juga di Asia Barat serta Eropah. Itu tidak akan berlaku,” katanya.
Beliau turut mendakwa rundingan dengan Iran berdepan kesukaran berikutan ketidakjelasan kepimpinan negara itu.
“Kami tidak tahu dengan siapa kami berurusan. Kami mencari pemimpin, tetapi tiada siapa mahu tampil,” dakwanya.
Trump juga menyentuh kesan konflik terhadap pasaran tenaga global, khususnya gangguan di Selat Hormuz.
“Banyak kapal minyak tidak dapat keluar dari selat itu. Namun saya percaya keadaan akan kembali stabil dengan cepat,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa pengeluaran minyak AS kini berada pada tahap tertinggi, malah melebihi gabungan pengeluaran Arab Saudi dan Rusia.
Konflik antara AS, Israel dan Iran yang bermula pada 28 Februari lalu terus mencetuskan ketegangan serantau, menjejaskan bekalan tenaga global serta meningkatkan harga minyak dunia. – REUTERS