AS tarik keluar 5,000 tentera dari Jerman

Kenderaan tentera dipandu semasa latihan Combined Resolve Tentera Darat AS di kemudahan latihan Tentera Darat AS di Hohenfels, Jerman/REUTERS

WASHINGTON, 2 Mei – Amerika Syarikat (AS) akan menarik keluar kira-kira 5,000 tenteranya dari Jerman, menurut pengumuman Pentagon pada Jumaat, mencerminkan ketegangan semakin memuncak antara Washington dan sekutu Eropah berhubung perang Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump bertindak balas terhadap kenyataan Canselor Jerman Friedrich Merz, mengancam pengurangan kehadiran tentera AS.
  • Pegawai Pentagon tidak dikenali menyifatkan kenyataan Jerman sebagai tidak sesuai dan tidak membantu.
  • Pentagon kata proses pengunduran dijangka selesai dalam enam hingga 12 bulan, mengembalikan kehadiran ke paras pra-2022.
  • Ketegangan turut menjejaskan hubungan dengan sekutu lain, mengancam peranan NATO dan menjejaskan keselamatan laluan tenaga Selat Hormuz.

Langkah itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mengancam untuk mengurangkan kehadiran tentera susulan pertelingkahan dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz.

Seorang pegawai kanan Pentagon yang enggan dikenali menyifatkan kenyataan pihak Jerman baru-baru ini sebagai “tidak sesuai dan tidak membantu”.

“Presiden bertindak balas terhadap kenyataan yang tidak membina ini,” katanya.

Pentagon memaklumkan proses pengunduran itu dijangka selesai dalam tempoh enam hingga 12 bulan. Ketika ini, Jerman menempatkan kira-kira 35,000 anggota tentera aktif AS, jumlah tertinggi di Eropah.

Menurut pegawai berkenaan, langkah tersebut akan mengembalikan paras kehadiran tentera AS di Eropah kepada tahap sebelum Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine 2022 yang menyaksikan peningkatan penempatan di bawah pentadbiran Joe Biden.

Selain itu, keputusan berkenaan turut dilihat selari dengan dasar pentadbiran Trump yang mahu NATO dan negara Eropah memainkan peranan lebih besar dalam keselamatan benua tersebut.

Laporan Reuters sebelum ini turut mendedahkan wujudnya cadangan dalaman Pentagon untuk mengambil tindakan terhadap sekutu NATO yang dilihat tidak menyokong operasi AS dalam perang Iran, termasuk mempertimbangkan langkah terhadap Sepanyol dan menilai semula pendirian AS terhadap tuntutan United Kingdom ke atas Kepulauan Falkland.

Trump juga memberi bayangan kemungkinan pengunduran tentera dari Itali dan Sepanyol, selain mengancam sekatan perdagangan terhadap Madrid susulan keengganannya menyokong operasi ketenteraan terhadap Iran.

Dalam masa sama, hubungan Washington dengan sekutu Eropah lain turut terjejas, termasuk dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.

Ketegangan ini turut dipengaruhi isu keselamatan di Selat Hormuz yang hampir ditutup sepanjang konflik Iran, sekali gus menjejaskan bekalan tenaga global. – REUTERS