
BEIJING, 21 Ogos – Sekatan dan tekanan Amerika Syarikat (AS) tidak akan membantu menyelesaikan konflik di Asia Barat, kata China.
- China menggesa semua pihak bertindak bertanggungjawab dan menyelesaikan isu menerusi saluran politik serta diplomatik.
- China menentang sekatan unilateral yang melanggar undang-undang antarabangsa dan tanpa kebenaran Majlis Keselamatan PBB.
- Beijing diberi tekanan AS untuk sertai tindakan ekonomi terhadap Iran; China menekankan perbincangan lebih baik dilakukan secara tertutup.
Kenyataan itu dibuat susulan gesaan Washington kepada kerajaan-kerajaan termasuk Beijing supaya menyertai usaha mengenakan tekanan ekonomi terhadap Iran.
Ketika ditanya mengenai ancaman Presiden AS Donald Trump, Jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian menggesa semua pihak berkaitan mengambil langkah bertanggungjawab serta menyelesaikan masalah menerusi saluran politik dan diplomatik.
Terdahulu, AS memberi amaran bahawa ia akan “meruntuhkan” rejim Iran menerusi tekanan ekonomi yang dirancangnya, manakala Tehran menyifatkan ancaman itu sebagai “keganasan ekonomi” yang pasti gagal, hampir enam bulan selepas perang antara kedua-dua negara tercetus.
Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent mempertahankan usaha Trump untuk meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Tehran dan menggesa Beijing menyertai usaha berkenaan.
“Banyak perbincangan lebih baik dilakukan secara tertutup,” kata Bessent kepada CNBC semasa ditanya sama ada AS akan menekan China supaya menyertai kempen itu.
Mengulas kenyataan Bessent, Lin sekali lagi menekankan keperluan semua pihak mengambil langkah bertanggungjawab dalam usaha menyelesaikan konflik berkenaan.
“China menentang sekatan unilateral yang menyalahi undang-undang, tidak mempunyai asas dalam undang-undang antarabangsa dan tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. -AFP