
TEHRAN, 21 Ogos – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan masanya telah tiba untuk menamatkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah berlarutan selama berbulan-bulan kerana Tehran berada dalam posisi lebih kuat berbanding Washington.
- Dunia mengakui kemenangan Iran dan mengecam serangan AS terhadap sekolah, hospital dan infrastruktur, melanggar peraturan antarabangsa.
- Kementerian Luar Iran menuduh AS melakukan manipulasi ekonomi dan jenayah kemanusiaan susulan peningkatan sekatan.
- Iran menuntut pihak yang melaksanakan sekatan dibicarakan dan dihukum atas jenayah kejam terhadap rakyat Iran.
- China mengkritik langkah AS, menolak sekatan sebagai penyelesaian dan menggesa penyelesaian politik serta diplomatik.
“Lebih baik perang ini ditamatkan sekarang kerana kita berada dalam kedudukan yang kuat dan bermaruah, manakala seluruh dunia mengakui kemenangan kita.
“Dunia juga menegaskan bahawa AS menyerang sekolah, hospital dan infrastruktur Iran, sekali gus melanggar semua peraturan serta dikecam masyarakat antarabangsa, katanya ketika bertemu sekumpulan doktor.
Kenyataan itu dibuat selepas Kementerian Luar Iran menuduh AS melakukan manipulasi ekonomi dan jenayah kemanusiaan susulan keputusan Washington untuk meningkatkan sekatan bagi memberi tekanan terhadap Tehran.
“Pihak yang melaksanakan dan mencetuskan sekatan itu wajar dibicarakan dan dihukum kerana melakukan jenayah kejam seperti itu,” menurut kementerian berkenaan dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent pada Khamis berikrar Washington akan melumpuhkan Iran menerusi kempen tekanan yang dirancang, hampir enam bulan selepas perang antara kedua-dua negara bermula.
China turut mengkritik langkah itu dan menegaskan bahawa sekatan dan tekanan AS tidak akan menyelesaikan konflik di Asia Barat.
Washington sebelum ini menggesa kerajaan lain termasuk Beijing menyertai usaha untuk mengasingkan ekonomi Iran.
Mengulas mengenai ancaman Presiden AS, Donald Trump, jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian pada Jumaat dengan sinis berkata, “sekatan dan tekanan tidak akan membantu menyelesaikan isu berkenaan.”
“Beijing menggesa semua pihak berkaitan mengambil langkah bertanggungjawab serta menyelesaikan masalah menerusi kaedah politik dan diplomatik,” katanya. – AFP