
GENEVA, 21 Ogos – Wabak Ebola yang melanda Republik Demokratik Congo (DRC) kini merebak secara meluas dengan lebih 2,500 kematian direkodkan, separuh daripadanya dalam tempoh 20 hari terakhir.
- Wabak ini dianggap paling besar dalam sejarah DRC dan merebak lebih pantas berbanding wabak Ebola sebelum ini.
- Epidemik meliputi kawasan lebih besar daripada Perancis, menjejaskan wilayah dengan tadbir urus lemah, infrastruktur kesihatan terhad dan operasi kumpulan bersenjata.
- Usaha tindak balas dikritik perlahan dan kurang tersusun, MSF dan PBB gesa pertingkatkan tindakan kerana penularan melebihi keupayaan respon.
Penyelaras kanan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi penyakit Ebola, Julien Harneis berkata, penyakit berkenaan sudah menjadi wabak yang terbesar dalam sejarah negara itu.
Malah, penularannya berlaku lebih pantas berbanding mana-mana wabak virus maut berkenaan yang pernah direkodkan.
“Dalam tempoh tiga bulan lalu, lebih 2,500 orang telah meninggal dunia, dengan separuh daripada angka tersebut direkodkan dalam tempoh 20 hari terakhir, ”
kata Harneis kepada pemberita di Bunia, pusat penularan wabak berkenaan yang berpangkalan di sini.
“Epidemik itu merebak secara meluas. Ia kini meliputi kawasan lebih besar daripada Perancis. Ebola berkembang dengan pantas dan meluas berbanding usaha tindak balas bagi menanganinya, ” tambah beliau.
Wabak Ebola ke-17 di DRC dipercayai telah merebak selama beberapa minggu sebelum diisytiharkan secara rasmi pada 15 Mei lepas.
Wabak itu melanda wilayah di utara dan timur negara berkenaan yang berdepan tadbir urus kerajaan yang lemah, kekurangan infrastruktur kesihatan serta menjadi kawasan operasi pelbagai kumpulan bersenjata sejak berdekad lalu.
Badan amal Doctors Without Borders (MSF) turut memberi amaran pada Jumaat bahawa wabak itu merebak pada tahap membimbangkan.
“Wabak ini terus merebak dan penularannya lebih pantas daripada keupayaan tindak balas untuk menanganinya,” kata Presiden MSF, Javid Abdelmoneim dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Harneis menegaskan keperluan untuk mempertingkatkan usaha tindak balas terhadap wabak berkenaan yang dikritik kerana bergerak perlahan dan kurang tersusun, selain berdepan masalah ketidakpercayaan dalam kalangan penduduk.
Kes Ebola setakat ini dilaporkan di enam wilayah di DRC, termasuk kawasan berhampiran sempadan Sudan Selatan, selain di negara jiran, Uganda.
Uganda yang merekodkan dua kematian daripada 20 kes Ebola, mengisytiharkan negara itu bebas daripada virus berkenaan bulan lalu. – AFP