Turkiye mohon Notis Merah Interpol terhadap Netanyahu

Peserta Global Sumud Flotilla berdepan detik cemas ketika diserang tentera Israel di perairan Mediterranean – Foto fail

ANKARA, 21 Ogos – Turkiye memohon waran tangkap antarabangsa terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, atas tuduhan melakukan genosid berkaitan tindakan Israel memintas flotila bantuan ke Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan Israel memintas flotila yang membawa kira-kira 430 aktivis pada Mei mencetuskan kecaman dan prosiding kehakiman antarabangsa.
  • Sekitar 50 kapal Global Sumud Flotilla berlepas dari Turkiye menuju wilayah Palestin yang dikepung.
  • Menteri Israel Itamar Ben Gvir dicemuh selepas memuat naik video mengejek aktivis berlutut dengan tangan diikat.

Menteri Kehakiman Turki, Akin Gurlek menerusi catatan di akaun X pada Jumaat memaklumkan, kementeriannya telah meminta Kementerian Dalam Negeri memohon Interpol mengeluarkan notis merah ke atas Netanyahu dan seorang lagi individu dikenali Afek Moskovitch.

“Netanyahu dan Moskovitch didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk jenayah terhadap kemanusiaan, genosid, mencabuli kebebasan secara serius, serangan dan kecederaan dengan sengaja, penyeksaan, kemusnahan harta benda, rompakan secara serius serta rampasan kenderaan pengangkutan.

“Sebagai sebahagian daripada prosiding kehakiman berhubung serangan terhadap aktivis flotila di perairan antarabangsa, Kementerian Kehakiman Turki memohon Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan notis merah bagi penangkapan antarabangsa terhadap Benjamin Netanyahu dan Afek Moskovitch.

“Permohonan itu dibuat berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan pada 14 Julai 2026 atas tuduhan genosid,” kaya Gurlek.

Tindakan Israel memintas flotila yang membawa kira-kira 430 aktivis pada Mei lalu mencetuskan kecaman antarabangsa.

Perancis, Itali dan Australia turut memulakan prosiding kehakiman berhubung insiden itu.

Kira-kira 50 kapal menyertai Global Sumud Flotilla yang berlepas dari Turkiye pada Mei menuju ke wilayah Palestin yang dikepung.

Aktivis terbabit ditahan tentera Israel di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke penjara Israel dan kemudian diusir.

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, turut mencetuskan kecaman selepas memuat naik video menunjukkan beliau mengejek beberapa aktivis flotila yang berlutut dengan tangan diikat di belakang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.