‘Superman’ sertai usaha padam kebakaran hutan di Kalimantan

Rudiyansah menyarungkan kostum ‘Superman’ ketika membantu memadamkan kebakaran hutan di Palangka Raya / Foto REUTERS

KALIMANTAN TENGAH, 23 Ogos – Ketika kebakaran hutan terus melanda Palangka Raya, seorang remaja berpakaian seperti ‘Superman’ mencuri tumpuan apabila turut turun padang membantu memadamkan kebakaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rudiyansah, 17, menyertai operasi pemadaman bersama bapanya yang mengetuai kumpulan sukarelawan tempatan.
  • Beliau memakai kostum sebagai suntikan semangat dan menghiburkan masyarakat ketika membantu operasi.
  • Kebakaran hutan meluas: hampir 95,000 hektar terbakar pada Julai; jerebu turut menjejaskan beberapa kawasan Sarawak.

Rudiyansah, 17 tahun, mula menyertai operasi pemadaman selepas mengikut bapanya yang mengetuai kumpulan sukarelawan pemadam kebakaran tempatan ke beberapa lokasi titik panas.

Sebagai suntikan semangat, Rudiyansah mengambil keputusan menyarungkan kostum ‘Superman’ miliknya ketika membantu operasi pemadaman.

Menurutnya, beliau menganggap tindakan itu sesuatu yang menyeronokkan dan sejak itu terus memakai pakaian berkenaan ketika menyertai operasi memadamkan kebakaran.

Penampilan remaja terbabit dalam pakaian superhero itu kemudiannya menarik perhatian dan sedikit sebanyak menghiburkan masyarakat setempat ketika mereka berdepan kesukaran membendung kebakaran hutan dan tanah yang semakin meluas.

Indonesia kini berdepan krisis kebakaran hutan dan jerebu, dengan hampir 95,000 hektar kawasan terbakar di seluruh negara pada Julai sahaja, berdasarkan data kerajaan yang dikeluarkan minggu ini.

Keluasan kawasan yang terbakar ketika ini juga telah melepasi jumlah yang direkodkan pada musim El Nino pada 2019 dan 2023.

Bagaimanapun, keadaan itu masih belum mencapai tahap kemusnahan pada 2015, ketika fenomena El Nino yang sangat kuat mencetuskan antara bencana kebakaran hutan terburuk di Indonesia.

Jerebu akibat kebakaran turut menjejaskan Malaysia apabila enam kawasan di Sarawak merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.