Serangan siber: Bank di Perancis dapat semula dana

Foto AFP

PARIS, 7 November– Bank di Perancis, Credit Mutuel Arkea yang kehilangan lebih 100 juta euro akibat serangan siber, berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada dana berkenaan, menurut seorang pegawai kanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Unit khas anti jenayah siber Perancis sedang menyiasat insiden itu.
  • Akhbar Le Telegramme menganggarkan 118 juta euro dicuri dalam serangan tersebut.
  • Serangan turut menyasarkan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah; EU bimbang ganggu bekalan makanan, Rusia menafikan penglibatan.

Presiden Confederation Nationale du Credit Mutuel (CNCM), Daniel Baal yang menyelia pelbagai entiti bawah kumpulan Credit Mutuel, berkata kepada stesen televisyen France 5 bahawa pihak bank “berjaya mendapatkan semula sebahagian daripada wang yang hilang”.

Bagaimanapun jumlah sebenar dana yang diperoleh, tidak didedahkan.

Sementara itu, akhbar Le Telegramme melaporkan, jumlah sebenar wang yang dicuri dalam serangan itu dianggarkan sebanyak 118 juta euro.

Unit khas antip jenayah siber Perancis kini sedang menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

“Kami berdepan serangan siber setiap hari. Mujurlah, sebahagian besar daripadanya, hampir semuanya, berjaya dipatahkan,” kata Baal.

“Namun ketika serangan ini, saya tidak dapat memastikan sama ada ia dilakukan oleh pihak dari Perancis atau luar negara,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penggodam berjaya menceroboh sistem Credit Mutuel Arkea sebelum memindahkan wang ke akaun lain, tanpa menjejaskan dana milik pelanggan.

Dalam perkembangan berasingan, serangan siber turut menyasarkan pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah minggu ini.

Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran bahawa serangan itu berkemungkinan sebahagian daripada usaha terancang untuk mengganggu bekalan makanan.

Rusia, yang sekian lama dituduh terbabit dalam serangan siber berulang kali terhadap negara-negara Eropah, bagaimanapun menafikan sebarang penglibatan. -AFP.

 

 

 

 

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.