
RIYADH, 10 September – Beberapa kediaman di selatan Arab Saudi rosak teruk, dengan barangan hangus dan dinding runtuh susulan serangan peluru berpandu serta dron Houthi awal minggu ini.
- Agensi Akhbar Saudi melaporkan serangan menyasarkan kawasan awam dan ekonomi di Abha, Khamis Mushait, Jazan dan Najran.
- Serangan menyebabkan 73 orang awam cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.
- Jurucakap Houthi mengesahkan serangan dan memberi amaran akan melancarkan serangan yang lebih besar.
Rakaman yang disiarkan penyiar Arab Saudi, Al Ekhbariya pada Rabu menunjukkan kesan kemusnahan di dalam beberapa rumah, selain kawah besar dipercayai akibat serangan.
Bagaimanapun, masa dan lokasi tepat rakaman itu tidak dapat disahkan secara bebas.
Agensi Akhbar Saudi (SPA) melaporkan serangan pada Selasa menyasarkan lokasi awam dan ekonomi di Abha, Khamis Mushait, Jazan dan Najran.
Serangan berkenaan menyebabkan 73 orang awam cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kementerian Tenaga Arab Saudi pula memaklumkan beberapa kemudahan tenaga dan utiliti di wilayah selatan turut diserang.
Serangan itu menyebabkan kebakaran berlaku di beberapa lokasi.
Sementara itu, jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree mengesahkan kumpulannya melancarkan serangan terhadap Arab Saudi.
Beliau memberi amaran Houthi tidak akan teragak-agak melancarkan serangan yang lebih besar dan lebih keras.
Beberapa kerajaan Arab dan pertubuhan serantau turut menyatakan solidariti kepada Arab Saudi selepas serangan itu.
Mereka menyifatkannya sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya serta pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Ketegangan antara Houthi dan Arab Saudi meningkat sejak beberapa minggu lalu.
Houthi sebelum ini menuduh Arab Saudi bertanggungjawab terhadap serangan pada landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa pada 13 Julai.
Serangan itu didakwa bertujuan menghalang sebuah pesawat Iran daripada mendarat di Yemen.
Pesawat berkenaan membawa delegasi Houthi yang pulang dari Iran selepas menghadiri pengebumian bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Kementerian Pertahanan Yemen yang bersekutu dengan kerajaan yang diiktiraf antarabangsa kemudian mengesahkan pasukannya menyerang landasan berkenaan bagi menghalang pesawat Iran daripada mendarat di wilayah Yemen.
Sementara itu, pertempuran turut semakin sengit di Yemen.
Houthi melancarkan serangan di barat Taiz dan selatan Al Hudaydah menuju Mokha serta Bab al-Mandab.
Pasukan kerajaan kemudian memperluas operasi ke beberapa medan lain termasuk Al Jawf dan Al Bayda. — AFP