Selat Hormuz kekal ditutup sehingga AS terima syarat Iran

Pandangan dari udara menunjukkan kapal-kapal berlabuh di luar pantai Khasab di Kegabenoran Musandam, Oman, berhampiran Selat Hormuz/ AFP

TEHRAN, 7 November – Angkatan Tentera Iran mengawal Selat Hormuz yang akan kekal ditutup sehingga Amerika Syarikat (AS) menerima syarat Tehran, kata jurucakap tentera Brigedier Jeneral Mohammad Akraminia pada Jumaat, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran memberi amaran sebarang pencerobohan baharu oleh AS akan mencetuskan tindak balas segera.
  • Pangkalan dan kepentingan AS di Teluk Parsi serta luar Asia Barat berada dalam jangkauan dron dan peluru berpandu Iran.
  • Angkatan Tentera, IRGC dan penguatkuasaan undang-undang kini lebih bersedia, dengan sokongan rakyat meningkatkan semangat anggota.

Berucap pada satu majlis di Kaunti Pishva, Wilayah Tehran bagi memberi penghormatan kepada komander dan juruterbang yang terkorban dalam kebangkitan rakyat 5 Jun 1963, beliau berkata Tentera Iran, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan Markas Pemerintahan Penguatkuasaan Undang-Undang kini lebih bersedia selepas konfrontasi secara langsung dengan AS dan rejim Israel.

Beliau berkata sokongan rakyat telah meningkatkan semangat anggota tentera. Sebelum perang, kira-kira 130 kapal melalui selat itu setiap hari, membawa 20 peratus daripada bekalan minyak dunia, selain bahan api jet dan baja kimia.

Akraminia memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan baharu oleh AS akan mencetuskan tindak balas serta-merta.

Menurut beliau, pangkalan dan kepentingan AS di Teluk Parsi serta di luar Asia Barat berada dalam jangkauan serangan dron dan peluru berpandu Iran.

Beliau berkata angkatan tentera akan mematuhi arahan Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Mojtaba Hosseini Khamenei, untuk bertindak balas dengan pantas, berkesan dan tanpa batasan geografi.

Memetik pegawai AS, Akraminia menganggarkan kos langsung peperangan yang ditanggung Washington melebihi AS$48 bilion, manakala kerugian tidak langsung berpotensi berlarutan selama bertahun-tahun.

Pegawai tentera itu turut merujuk kepada kemerosotan prestasi Parti Republikan dalam pilihan raya serta protes yang berlaku di negara-negara Eropah.

Beliau juga berkata perhimpunan solidariti rakyat yang berlangsung selama 251 malam telah mengukuhkan lagi perpaduan nasional.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.