Saham AS ditutup rendah susulan harga minyak Brent tembusi AS$100 setong

Kenderaan beratur untuk mengisi minyak di sebuah stesen minyak Lukoil ketika Rusia berdepan kekurangan bahan api di Moscow/Foto REUTERS

NEW YORK, 10 September – Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup rendah pada Rabu selepas harga minyak mentah global melonjak melepasi AS$100 setong susulan ketegangan antara AS dan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks utama AS susut: Dow -405.41 mata, S&P 500 -37.16, Nasdaq -168.07.
  • 10 daripada 11 sektor S&P 500 berakhir negatif; tenaga meningkat manakala perindustrian dan barangan pengguna bukan asas susut.
  • Hasil bon Perbendaharaan 10 tahun melonjak ke 4.859 peratus; pasaran anggarkan 60% kebarangkalian Fed naikkan kadar 25 mata asas.

Perkembangan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi dan jangkaan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) minggu depan.

Indeks Purata Perindustrian Dow Jones susut 405.41 mata atau 0.77 peratus kepada 52,380.66 mata, manakala S&P 500 merosot 37.16 mata atau 0.48 peratus kepada 7,636.36 mata.

Nasdaq Composite pula turun 168.07 mata atau 0.64 peratus kepada 26,253.34 mata.

Daripada 11 sektor utama S&P 500, 10 berakhir dalam wilayah negatif dengan sektor perindustrian dan barangan pengguna bukan asas masing-masing susut 1.51 dan 1.39 peratus.

Sektor tenaga bagaimanapun bergerak bertentangan dengan trend apabila meningkat 1.09 peratus.

Harga minyak Brent menembusi paras AS$100 setong buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan selepas Amerika Syarikat menyerang lima kapal tangki minyak Iran, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan menerusi Selat Hormuz.

Minyak mentah Brent untuk penghantaran November meningkat AS$3.29 atau 3.36 peratus kepada AS$101.21 setong di London ICE Futures Exchange.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) bagi penghantaran Oktober pula naik AS$3.02 atau 3.25 peratus kepada AS$96.05 setong di New York Mercantile Exchange.

Dalam perkembangan berkaitan, hasil bon kerajaan AS melonjak pada Rabu selepas Jabatan Perbendaharaan mengumumkan rancangan meningkatkan tiga kali ganda operasi pembelian balik bon kerajaan jangka panjang kepada AS$6 bilion.

Susulan pengumuman itu, hasil bon Perbendaharaan AS 10 tahun mencecah 4.859 peratus, paras tertinggi sejak awal November 2023.

Kenaikan kos tenaga turut meningkatkan kebimbangan pasaran menjelang mesyuarat dasar monetari Fed minggu depan.

Berdasarkan alat FedWatch CME Group, pedagang kini mengunjurkan kebarangkalian kira-kira 60 peratus bagi Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas bagi menangani tekanan harga yang masih berlarutan.

Sentimen pasaran turut terjejas akibat ketegangan perdagangan apabila tarif balas Kanada terhadap barangan AS bernilai kira-kira AS$20 bilion mula berkuat kuasa.

Dalam perkembangan korporat, saham peruncit bekalan haiwan peliharaan dalam talian, Chewy, merosot lebih 10 peratus selepas melaporkan keputusan kewangan suku tahunan yang menepati jangkaan Wall Street.

Sementara itu, saham Apple susut 0.28 peratus selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya, John Ternus, membuat penampilan sulung dalam ucaptama bagi memperkenalkan barisan produk terbaharu syarikat teknologi itu. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.