
THE HAGUE, 28 Ogos – Bekas ketua tentera Serb Bosnia, Ratko Mladic, yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana jenayah perang dan atas peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995, meninggal dunia di hospital pada Khamis, menurut tribunal antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
- Media menamakan beliau 'Penyembelih Bosnia' kerana peranannya dalam pembunuhan beramai-ramai semasa konflik bekas Yugoslavia.
- Mladic ialah tokoh ketenteraan utama bersama Slobodan Milosevic dan Radovan Karadzic dalam konflik Bosnia.
- Mangsa terselamat mengisahkan pembunuhan, penyeksaan dan rogol dilakukan oleh pasukan Serb Bosnia.
- Beliau bersembunyi bertahun-tahun, dilindungi di Serbia; akhirnya ditangkap pada Mei 2011 dan dihantar ke tribunal antarabangsa.
Mladic, yang mengalami beberapa kali strok dalam beberapa bulan kebelakangan ini, sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup di The Hague selepas disabitkan atas kesalahan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
Beliau bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, yang dianggap sebagai pertumpahan darah terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Sabitan terhadapnya menyebabkan media menggelarnya sebagai “Penyembelih Bosnia”, berikutan peranannya dalam pembunuhan ketika bekas Yugoslavia dilanda konflik selepas kejatuhan komunisme.
Mladic merupakan tokoh ketenteraan dalam trio pemimpin utama yang dikaitkan dengan konflik itu, bersama bekas Presiden Yugoslavia Slobodan Milosevic dan bekas pemimpin Serb Bosnia, Radovan Karadzic.
Pegawai Serbia serta keluarga Mladic sebelum ini merayu supaya beliau dibebaskan atas faktor kesihatan yang semakin merosot, namun permohonan itu ditolak tribunal di The Hague.
Dalam kekejaman paling dahsyat sepanjang perang itu, tentera Serb di bawah arahan Mladic membunuh kira-kira 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki Islam Bosnia yang berlindung di Srebrenica, sebuah kawasan yang sepatutnya dilindungi PBB.
Mayat mangsa dibuang ke dalam kubur besar, malah sebahagiannya digali semula dan dikebumikan di lokasi lain bagi menyembunyikan bukti pembunuhan.
Mangsa yang terselamat pula menceritakan pengalaman mengerikan termasuk pembunuhan, penyeksaan dan rogol yang dilakukan pasukan Serb Bosnia.
Pada November 1995, Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi Bekas Yugoslavia (ICTY) mendakwa Mladic, yang telah dipecat daripada jawatannya, namun berjaya mengelak daripada ditangkap selama 16 tahun.
Beliau pada mulanya menjalani kehidupan mewah dan mendapat perlindungan daripada pihak tentera di Serbia, malah sehingga kini terdapat golongan yang menganggapnya sebagai wira.
Tekanan terhadap Mladic meningkat selepas Milosevic kehilangan kuasa pada 2000 sebelum beliau akhirnya ditangkap pada Mei 2011 dan dibawa ke The Hague.
Mladic disabitkan kesalahan pada 2017 dan hukuman penjara seumur hidupnya dikekalkan melalui rayuan pada 2021.
Mladic turut didapati bersalah merancang kempen pembersihan etnik secara meluas bagi mengusir penduduk Islam dan Bosnia dari kawasan strategik untuk mewujudkan apa yang dipanggil Serbia Raya.
Tribunal sebelum ini menyifatkan jenayah yang dilakukan sebagai antara “yang paling kejam diketahui manusia”.
Manakala bekas Ketua Hak Asasi Manusia PBB, Zeid Ra’ad al Hussein, menyifatkannya sebagai “lambang kejahatan”.
Perang Bosnia dari 1992 hingga 1995 mengorbankan kira-kira 100,000 nyawa dan menyebabkan 2.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal.