
KADUNA, 21 Januari –Puluhan individu diculik selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang dua gereja di Kampung Kurmin Wali, Negeri Kaduna, utara Nigeria, Ahad lalu.
- Puluhan individu diculik selepas serangan oleh lelaki bersenjata ke atas dua gereja di Kampung Kurmin Wali, Kaduna.
- Kedua-dua serangan berlaku ketika ibadat, mangsa dikumpulkan dan dibawa ke lokasi tidak diketahui.
- Insiden menambah tekanan pada kerajaan Nigeria amid peningkatan penculikan untuk tebusan; jumlah rasmi mangsa belum diumumkan.
Serangan menyasarkan Gereja Evangelical Church Winning All (ECWA) dan Albarika Cherubin and Seraphin Movement Church, ketika upacara ibadat sedang berlangsung.
Penduduk tempatan, Dogo Yohanna berkata, penyerang mengumpulkan penduduk dari kedua-dua gereja sebelum membawa mereka ke lokasi tidak diketahui.
“Semua orang dari dua gereja dikumpulkan dan dibawa pergi. Saya melarikan diri kerana terlalu takut,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Idris Madami memaklumkan, dua isterinya serta tiga anaknya antara yang diculik, selain beberapa ahli keluarganya yang lain.
“Dalam keluarga kami sahaja, hampir 20 orang menjadi mangsa culik,” katanya.
Tinjauan di lokasi mendapati keadaan dalam gereja berselerak, dengan kerusi plastik, buku dan peralatan muzik ditinggalkan.
Kes penculikan terbaharu ini menambah tekanan terhadap kerajaan Nigeria yang berdepan peningkatan kes penculikan bagi tujuan tebusan, melibatkan komuniti Islam dan Kristian.
Pihak berkuasa Nigeria setakat ini belum mengeluarkan jumlah rasmi keseluruhan mangsa culik. -REUTERS