
BRASILIA, 30 Julai – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menafikan imej dan suara dalam video deepfake yang memaparkan sokongan beliau kepada pencalonan anaknya, Flavio Bolsonaro dalam pilihan raya Oktober ini.
- Video deepfake ditayangkan semasa Flavio secara rasmi melancarkan kempennya.
- Peguam memberitahu mahkamah Bolsonaro tidak memberi kebenaran penggunaan imej dan suara untuk video AI.
- Hakim Alexandre de Moraes anggap video itu sebagai pelanggaran serius syarat tahanan rumah.
- Flavio mungkin melanggar undang-undang pilihan raya yang melarang deepfake; penggunaan imej boleh mengelirukan pengundi.
Video deepfake itu ditayangkan ketika Flavio secara rasmi melancarkan kempennya, Sabtu lepas.
“Ini merupakan simulasi imej dan suara yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan. Seperti yang semua sedia maklum, saya dipenjarakan dan dibisukan oleh keputusan yang tidak adil,”kata replika digital Bolsonaro dalam video tersebut.
“Saya minta anda semua menerima dengan terbuka individu yang saya pilih untuk menggantikan saya iaitu darah daging sendiri, anak saya Flavio,”kata avatar itu.
Dalam maklum balas yang dikemukakan peguamnya kepada mahkamah, Bolsonaro menegaskan beliau “tidak pernah memberi kebenaran untuk penggunaan imej dan suaranya bagi menghasilkan video berasaskan kecerdasan buatan itu.”
Bagaimanapun, beliau berkata tidak pernah menghalang anak-anaknya daripada menggunakan imejnya untuk tujuan politik, memandangkan wujud ‘kepercayaan’ antara bapa dan anak-anak.
Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, berkata video berkenaan boleh dianggap sebagai ‘pelanggaran serius’ terhadap syarat-syarat tahanan rumah yang dikenakan terhadap bekas presiden itu.
Moraes turut memberi amaran bahawa Flavio Bolsonaro mungkin melanggar undang-undang pilihan raya Brazil yang melarang penggunaan deepfake bagi mempengaruhi atau memberi kelebihan kepada mana-mana calon, walaupun dengan kebenaran individu terbabit.
“Penggunaan imej Jair Bolsonaro berpotensi mengelirukan pengundi sehingga mereka menyangka bekas presiden itu terlibat secara langsung dalam kempen pilihan raya, sekali gus jelas merupakan satu bentuk maklumat palsu dalam pilihan raya,”katanya.
Jair Bolsonaro, 71 tahun menjalani hukuman penjara selama beberapa bulan sebelum dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah pada Mac lepas atas faktor kesihatan.
Beliau juga dilarang menggunakan media sosial, telefon bimbit atau membuat sebarang kenyataan kepada umum.
Pada 13 Julai lalu, Mahkamah Agung turut melarang Flavio Bolsonaro daripada melawat bapanya sehingga tamat pusingan pertama pilihan raya selepas beliau membacakan sepucuk surat tulisan tangan Jair Bolsonaro di media sosial.
Flavio Bolsonaro merupakan pencabar utama kepada Presiden berhaluan kiri, Luiz Inacio Lula da Silva, yang sedang berusaha memenangi penggal keempatnya sebagai presiden, walaupun tidak secara berturut-turut.- AFP