
LANDSTUHL, 3 Mei – Penduduk bandar Landstuhl di barat Jerman yang terletak berhampiran pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Ramstein melahirkan kebimbangan susulan pengumuman Pentagon untuk menarik keluar 5,000 anggota tenteranya dari negara sekutu NATO itu.
- Pengumuman dibuat selepas pertelagahan terbuka antara Presiden AS Donald Trump dan Canselor Jerman Friedrich Merz mengenai perang di Iran.
- Penduduk khuatir pengurangan kehadiran tentera AS menjejaskan operasi Pangkalan Udara Ramstein serta ekonomi dan kehidupan komuniti setempat.
- Langkah itu dilihat sebagai pengurangan kehadiran ketenteraan AS di Eropah selepas kritikan mengenai sokongan negara Eropah terhadap konflik Iran.
Pengumuman dibuat lewat Jumaat selepas tercetus pertelagahan terbuka berhubung perang di Iran antara Presiden AS, Donald Trump dan Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Penduduk tempatan khuatir langkah berkenaan turut memberi kesan kepada operasi Pangkalan Udara Ramstein, sekali gus menjejaskan ekonomi serta kehidupan komuniti setempat yang banyak bergantung kepada kehadiran tentera AS.
Ramstein merupakan pangkalan udara terbesar AS di Eropah dengan penempatan tenteranya bermula sejak 1952.
Di selatan Jerman pula, U.S. Army Garrison Bavaria yang berpusat di Grafenwoehr menjadi hab latihan utama tentera AS di Eropah.
Berdasarkan data Pusat Data Tenaga Manusia Pertahanan (DMDC) setakat Disember 2025, seramai 36,436 anggota perkhidmatan aktif AS ditempatkan di Jerman menerusi lima garison utama.
Langkah pengunduran itu dilihat sebagai tindakan paling jelas setakat ini oleh Washington untuk mengurangkan kehadiran ketenteraannya di Eropah, selepas berbulan-bulan mengkritik negara rantau itu kerana didakwa tidak memberikan sokongan mencukupi kepada AS dalam konflik Iran serta gagal memperkukuh keselamatan sendiri.