
CULIACAN, 3 Mei – Gabenor negeri Sinaloa, Ruben Rocha umum akan berundur sementara daripada jawatannya susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) mendakwa beliau bersama beberapa pegawai parti pemerintah terbabit dengan Kartel Sinaloa.
- AS memfailkan pertuduhan terhadap Rocha dan pemimpin lain parti pemerintah berkaitan konspirasi dengan Kartel Sinaloa.
- Jabatan Kehakiman AS mendakwa mereka menyeludup sejumlah besar narkotik ke AS sebagai balasan sokongan politik dan rasuah.
- Rocha menafikan dakwaan itu, menyifatkannya palsu dan berniat jahat serta bertekad membuktikan kebenaran.
- Tuduhan tersebut meningkatkan tekanan Washington ke atas Mexico dan menempatkan Presiden Claudia Sheinbaum dalam kedudukan politik sukar.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas AS memfailkan pertuduhan terhadap Rocha dan beberapa pemimpin parti pemerintah, sekali gus meningkatkan tekanan Washington ke atas Mexico.
Dalam kenyataan dikeluarkan kerajaan negeri Sinaloa, Rocha menegaskan dakwaan berkenaan adalah palsu serta berniat jahat.
“Saya tidak pernah mengkhianati penduduk dan keluarga saya… saya tidak akan sesekali berbuat demikian.
“Saya akan membuktikannya dengan tegas apabila institusi keadilan negara memerlukannya,” katanya.
Rocha merupakan anggota parti pemerintah, MORENA.
Tindakan Jabatan Kehakiman AS mendakwa Rocha serta beberapa pegawai MORENA berkonspirasi dengan pemimpin Kartel Sinaloa untuk menyeludup sejumlah besar narkotik ke AS sebagai balasan sokongan politik dan rasuah, meletakkan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dalam kedudukan politik yang sukar.
Setakat ini, Jabatan Kehakiman AS, Kedutaan AS di Mexico City dan kerajaan negeri Sinaloa belum mengeluarkan sebarang komen rasmi berhubung perkara itu.-REUTERS