Pakistan bakal terima bantuan kewangan baharu IMF

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)/REUTERS

ISLAMABAD, 28 Mac – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengumumkan telah mencapai persetujuan peringkat kakitangan dengan Pakistan bagi membuka akses kepada pakej pembiayaan baharu berjumlah AS$1.2 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan IMF sebahagian daripada sokongan berterusan untuk Pakistan yang menghadapi cabaran ekonomi.
  • Penyaluran dana masih tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF.
  • Pakistan akan menerima dana di bawah Kemudahan Dana Lanjutan dan Kemudahan Daya Tahan dan Kemampanan.
  • IMF memuji disiplin dasar makroekonomi Pakistan dan menyeru pengukuhan perlindungan sosial serta pembaharuan struktur ekonomi.

Menurut IMF, bantuan itu merupakan sebahagian daripada program sokongan berterusan kepada Pakistan yang kini berdepan cabaran ekonomi.

Bagaimanapun, penyaluran dana tersebut masih tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF.

Jika diluluskan, Pakistan akan menerima kira-kira AS$1 bilion di bawah Kemudahan Dana Lanjutan (Extended Fund Facility) dan sekitar AS$210 juta melalui Kemudahan Daya Tahan dan Kemampanan (Resilience and Sustainability Facility).

Pakistan merupakan antara peminjam terbesar IMF di dunia, selepas Argentina dan Ukraine.

IMF memuji komitmen pihak berkuasa Pakistan dalam melaksanakan dasar makroekonomi yang berhati-hati dan berdisiplin.

Langkah itu penting bagi mengekalkan kestabilan kewangan yang dicapai sebelum ini, di samping mempercepatkan pembaharuan struktur ekonomi.

IMF turut menekankan keperluan memperkukuh perlindungan sosial bagi mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga yang tidak menentu terhadap golongan rentan. – AFP